Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

33) BANTUAN I-SEED DAN BLUE PRINT

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa banyak bantuan I-Seed dan Blue Print yang telah diluluskan mengikut DUN-DUN dalam Daerah Klang?

    Untuk makluman Yang Berhormat Meru, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) adalah program bantuan yang dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk diproses dan disiasat sebelum dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan. Malah, Pejabat Daerah/ Tanah juga berperanan membuat perolehan bagi pembelian peralatan atau mesin. Sehubungan dengan itu, tiada perincian data penerima mengikut DUN kerana program ini adalah berdasarkan jumlah permohonan yang diterima oleh setiap Pejabat Daerah/ Tanah. Berdasarkan rekod dari tahun 2016 sehingga tahun 2021, jumlah keseluruhan penerima manfaat mengikut daerah Klang bagi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan bagi adalah seramai 267 orang dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM1,001,960.00 (Satu Juta Satu Ribu Sembilan Ratus Enam Puluh Ringgit) manakala bagi Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) yang baru ditubuhkan pada tahun 2021 adalah seramai 63 orang dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan sebanyak RM281,870.00 (Dua Ratus Lapan Puluh Satu Ribu Lapan Ratus Tujuh Puluh).

  2. Bolehkah tempoh menunggu kelulusan permohonan Blue Print di pendekkan masa menunggu dariapda 2 tahun sekarang ini kepada 6 bulan atau kurang?

    Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Program Bantuan Bleuprint Pembasmian Kemiskinan akan dilaksanakan sebanyak dua (2) kali setahun iaitu pada bulan Februari dan bulan Julai.  Namun begitu, pemilihan kali kedua adalah tertakluk kepada baki peruntukan sedia ada. Berhubung dengan berapa tempoh masa yang diambil untuk meluluskan sesuatu permohonan, Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri berpegang kepada Piagam Pelanggan iaitu memproses permohonan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan (dokumen lengkap) di dalam tempoh 3 bulan. Untuk makluman Y.B, Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan bagi tahun 2021 untuk sembilan (9) buah daerah telah diadakan pada 8 Februari hingga 14 Februari 2021 dan waran peruntukan bagi pembelian peralatan/ mesin telah disalurkan kepada Pejabat Daerah/ Tanah bermula pada 8  Mei hingga 13 Mei 2021 selaras dengan tempoh piagam pelanggan tersebut. Untuk makluman Yang Berhormat, proses untuk meluluskan permohonan bagi program ini dilakukan dengan begitu terperinci dan telus. Ianya adalah untuk memastikan pemohon yang bakal menerima bantuan ini adalah dari kalangan rakyat yang benar-benar layak sahaja. Bermula dengan proses siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Daerah/ Tanah, satu kertas kerja lengkap akan dibentangkan oleh Pejabat/ Daerah Tanah ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan untuk dipertimbangkan. Selepas itu, Seksyen Sektoral perlu meneliti satu persatu borang permohanan termasuklah dengan menelefon setiap pemohon bagi membuat pengesahan peralatan/ mesin yang dipohon, menyemak dokumen sokongan di borang permohonan, meneliti setiap anggaran harga peralatan/ mesin dan memasukkan setiap data permohonan ke dalam sistem pangkalan data sebelum satu kertas kelulusan disediakan bagi penyaluran waran ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk proses pembelian peralatan/ mesin. Segala proses tersebut adalah rumit dan terperinci namun ianya adalah satu keperluan dalam memastikan setiap permohonan diproses mengikut tatacara yang lengkap sejajar dengan objektif dan sasaran program bantuan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.