Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
41) BANTUAN COVID-19 UNTUK PENDUDUK LUAR BANDAR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Luar Bandar
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status bantuan COVID-19 untuk rakyat Negeri Selangor di kawasan Luar Bandar dan berapakah jumlah penerima sehingga Julai 2021?
Sehingga 16 Ogos 2021, Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan sebanyak RM278.34 juta di bawah Pakej Kita Selangor iaitu RM41.70 juta bagi Pakej Kita Selangor 1.0 dan RM236.63 juta di bawah Pakej Kita Selangor 2.0. Daripada 46 program di bawah Pakej Kita Selangor ini, 11 program telah selesai dilaksanakan. Program/inisiatif ini disediakan dengan penumpuan terhadap kebajikan rakyat dan kelangsungan ekonomi Negeri Selangor. Program/inisiatif ini juga disediakan kepada semua lapisan penduduk Negeri Selangor ketika mendepani cabaran kesan penularan pandemik Covid-19,
Justeru, pada masa ini tiada data mengenai jumlah penerima di kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, sehingga 16 Ogos 2021, seramai 871,837 orang telah menerima manfaat daripada pelaksanaan Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0.
-
Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk menukar kaedah bantuan daripada bakul makanan kepada sumbangan kewangan?
Inisiatif Bakul Makanan yang diperkenalkan melalui Pakej Kita Selangor merupakan salah satu inisiatif yang memberi manfaat kepada penerima yang terjejas melalui kaedah pemberian barang keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan makanan asas yang lain secara terus daripada Pejabat Ahli Dewan Negeri/Ahli Parlimen/ MPKK ke rumah penduduk yang terjejas. Cadangan menukar kaedah bakul makanan kepada wang tunai merupakan cadangan yang baik iaitu memberi peluang kepada penerima untuk membeli barang keperluan mengikut kehendak ataupun keperluan mereka. Namun kaedah pemberian wang tunai juga mempunyai risiko tertentu seperti berlakunya kehilangan wang tunai serta mendatangkan risiko keselamatan kepada petugas-petugas PKM seperti risiko dirompak dan sebagainya. Pemberian wang tunai juga dikhuatiri akan disalah gunakan oleh penerima untuk membeli barangan yang bukan merupakan keperluan asas dan seterusnya menyukarkan kehidupan harian penerima. Justeru, Kerajaan Negeri menghargai cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat dan akan menimbangkan secara mendalam mengenai kaedah pemberian secara tunai ni.