Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

89) Bantuan Anak Istimewa (ANIS)

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa lamakah tempoh masa sesuatu permohonan ANIS diproses?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tempoh masa keseluruhan permohonan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) diproses adalah dalam tempoh 15 hingga 26 hari bekerja.

    Proses permohonan AnIS meliputi tiga (3) fasa seperti berikut :-

    Fasa 1 :
    Proses pendaftaran dan penyemakkan permohonan ke dalam sistem yang dilaksanakan oleh YAWAS mengambil masa 3 hingga 5 hari bekerja dengan dokumen permohonan yang lengkap. Sekiranya dokumen permohonan tidak lengkap, borang permohonan akan dipulangkan semula kepada pihak PKM dan ini akan mengambil masa yang lebih lama bergantung kepada jangka masa dokumen dilengkapkan. (contoh dokumen: ì.) sebut harga pusat terapi/ alat sokongan/ ubatan atau nutrisi makanan dari farmasi;dan ii.) surat rujukan daripada pegawai perubatan).

    Dalam fasa ini juga pemohon boleh menyemak permohonan yang telah didaftarkan dalam sistem dan status permohonan berjaya atau tidak berdasarkan syarat permohonan.

    Fasa 2 :
    Proses kelulusan oleh pihak pejabat Y.B. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga (7 hingga 14 hari bekerja). Proses ini melibatkan penyemakan senarai pemohon yang layak berdasarkan kategori ketidakupayaan untuk kelulusan jumlah amaun yang perlu dibayar kepada penerima.

    Fasa 3 :
    Proses pembayaran kepada pemohon yang lulus dan pembayaran dibuat oleh pihak YAWAS secara Electronics Fund Transfer (EFT) ke akaun penerima dalam tempoh (5 hingga 7 hari bekerja).

    (Sumber maklumat : Yayasan Warisan Anak Selangor – YAWAS)

  2. Mohon nyatakan jumlah peruntukkan serta keberkesanan Bantuan Anak Istimewa (ANiS) dalam tahun 2020 terutama dalam membantu golongan berkenaan dalam pendemik Covid-19

    Program Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) telah mula diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2019 dengan peruntukan dana berjumlah RM500,000.00 dan disalurkan kepada Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) selaku pengendali kepada program ini.

    Program ini diteruskan pada tahun 2020 dengan jumlah penerima manfaat sehingga kini adalah sebanyak 167 orang penerima dengan perbelanjaan peruntukan berjumlah RM557,020.55. Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja dapat membantu golongan anak istimewa dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19, namun pelaksanaan program yang dilaksanakan berterusan secara tidak langsung menzahirkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan istimewa ini selaras dengan objektif awal pelaksanaan program Bantuan Khas AnIS seperti berikut :-

    i. Membantu meringankan tanggungan kos sara hidup, pemulihan dan pendidikan anak-anak OKU yang ditanggung oleh ibu bapa/penjaga yang memohon;

    ii. Membantu meringankan beban ibu bapa/penjaga anak-anak OKU bagi menanggung kos saringan/kesihatan anak-anak OKU yang biasanya mengambil tempoh masa panjang di hospital kerajaan; dan

    iii. Membantu mengurangkan beban ibu bapa/ penjaga anak-anak OKU yang ingin membeli peralatan khas bagi tujuan pemulihan anak-anak OKU.

Lampiran

Tiada Lampiran.