Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

78) Banjir Taman Templer

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan oleh JPS untuk menyelesaikan masalah banjir di Daerah Gombak khasnya di Dun Taman Templer?

    Masalah banjir di DUN Templer berlaku di kawasan tadahan Anak Sungai Udang. Rancangan penyelesaian jangka pendek dan penyelesaian jangka panjang yang akan dan telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

    i. Bagi penyelesaian jangka pendek, pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan yang melibatkan kerja pengorekan dan pembuangan kelodak di dalam sungai telah dan sedang dilaksanakan di sepanjang Anak Sungai Udang. Selain itu, kerja-kerja pembinaan floodwall juga telah dilaksanakan bagi mengurangkan impak banjir ke kawasan sekitar. Kerja-kerja yang dilaksanakan ini telah menampakkan kesannya dalam mengurangkan impak kejadian banjir kilat di kawasan yang terlibat.

    ii. Bagi penyelesaian jangka panjang, JPS telah memohon peruntukan sebanyak RM20 juta dalam RMK12 kepada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Anak Sungai Udang yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Anak Sungai Udang sepanjang 2km.

  2. Bagaimanakah cara kerajaan negeri untuk menghadapi masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk Taman Templer lebih-lebih lagi di Anak Sungai Udang

    Selain daripada pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Anak Sungai Udang, kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu untuk mengatasi masalah banjir di kawasan ini. Keadaan sistem saliran dalaman yang kecil dan tidak mempu menampung pertambahan air larian hujan perlu dinaiktaraf. Selain itu, terdapat juga premis dan struktur bangunan yang terlalu rapat dengan sistem saliran dan sesetengahnya dibina di atas sistem saliran. Perkara ini menyebabkan kesukaran bagi pihak JPS dan PBT untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan kerja menaiktaraf. Kerjasama daripada masyarakat juga diperlukan supaya tidak membuang sampah di dalam parit / sungai yang menghalang aliran air sungai seterusnya menyebabkan banjir kilat.

Lampiran

Tiada Lampiran.