Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

39) BANJIR KILAT DUN RAWANG

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan untuk menyelesaikan isu banjir kilat kerap berlaku di Taman Tun Perak?

    Untuk makluman Yang Berhormat, bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di Taman Tun Perak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi banjir bagi memastikan aliran sungai dapat dialirkan tanpa halangan dan seterusnya mengurangkan risiko banjir. Antara langkah mitigasi yang dilaksanakan ialah dengan melaksanakan kerja penyelengaraan sungai secara berkala bagi memastikan sungai dapat berfungsi pada tahap optimum semasa hujan seterusnya mengurangkan risiko banjir kilat. Untuk makluman YB, kerja-kerja pembersihan dan pengorekan kelodak di Sungai Pajam telah dilaksanakan pada tahun ini manakala kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan tebing sungai juga telah dilaksanakan di Jalan TP 24 dan TP 14, Taman Tun Perak yang rosak akibat daripada kejadian banjir. Walau bagaimanapun, terdapat kuari yang berada di kawasan upstream sungai di mana aktiviti kuari ini menyumbang kepada pengumpulan kelodak seterusnya menyebabkan sungai menjadi cetek. Pemantauan terhadap aktiviti kuari akan dibuat dengan lebih kerap bagi memastikan prosedur pelepasan kelodak ke sungai dipatuhi.

  2. Apakah perancangan untuk menyelesaikan isu banjir kilat kerap berlaku di Jalan Maxwell Rawang?

    Untuk makluman Yang Berhormat, JPS Negeri Selangor telah menyediakan pam di Jalan Maxwell bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut. Selain itu, terdapat stesen pam Sungai Rajah yang beroperasi untuk meningkatkan kadar aliran air keluar dari Jalan Maxwell ketika hujan lebat ke Sungai Rajah. JPS turut menugaskan kakitangannya untuk membuat pemantauan dengan lebih kerap terutama semasa waktu hujan bagi memastikan pam di Jalan Maxwell dan stesen pam Sungai Rajah beroperasi dengan baik. Bagaimanapun, bagi penyelesaian jangka panjang, kajian secara menyeluruh berkaitan sistem saliran dalaman perlu dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan penyelesaian isu banjir secara holistik dapat diperolehi hasil daripada kajian tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.