Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
392) BANJIR KILAT DI JALAN JAYA SETIA DAN SEKITARNYA
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan dan perancangan kerajaan di dalam menyelesaikan isu banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan penduduk setempat menjadi trauma?
Untuk makluman Yang Berhormat, merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Bil. 1 Tahun 2024 pada 15 Februari 2024, bagi halatuju penyelesaian isu banjir kilat yang berlaku di kawasan Kg. Bukit Kapar, pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memaklumkan bahawa MBDK akan melaksanakan kajian bagi pengalihan pelepasan air daripada kawasan pembangunan di Jalan Bukit Payung. Hal ini kerana, buat masa ini jajaran longkang daripada kawasan pembangunan ini akan melalui parit-parit sempadan di dalam lot persendirian termasuk Jalan Jaya Setia.
-
Apakah mangsa banjir boleh membuat tuntutan ganti rugi dan bagaimana caranya?
Banjir merupakan bencana alam yang sering berlaku berlaku di Negara kita dan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian. Akibat daripada kesan buruk yang timbul akibat kejadian bencana tersebut, Kerajaan Negeri ada memberikan bantuan kewangan bagi meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa-mangsa bencana. Bantuan bencana ini bukan sebagai tuntutan ganti rugi terhadap kerosakan atau kerugian yang dialami oleh mangsa banjir. Ia merupakan bantuan sagu hati yang merujuk kepada keprihatinan dan rasa tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk mengurangkan beban rakyat. Bagi membiayai bantuan ini, satu akaun amanah telah ditubuhkan di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 yang dinamakan Tabung Bencana Khas Negeri Selangor.
Bagi memohon bantuan kewangan ini, pemohonan yang lengkap perlu dikemukakan kepada Pejabat Daerah dan Tanah berdasarkan lokasi kediaman pemohon yang terjejas banjir.
Bagi Daerah Klang, pemohon hendaklah melaporkan segera kejadian bencana kepada Pengerusi MPKK/Penghulu dan pemohonan bantuan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui pautan Borang Permohonan Bencana di laman web Pejabat Daerah dan Tanah Klang dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh berlakunya bencana. Borang permohonan dan dokumen sokongan lengkap perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah dan Tanah Klang dalam tempoh dua puluh satu (21) hari dari tarikh permohonan dalam talian dilakukan. Semakan status permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem yang sama.