Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
109) BANJIR KILAT
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha dan langkah dari Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kg. Selayang Baru terutama proses pelebaran Anak Sg. Udang untuk fasa kedua?
Masalah banjir di Selayang Baru tertumpu kepada kawasan tadahan Anak Sungai Udang. Terdapat dua perancangan yang sedang dan akan dilaksanakan iaitu penyelesaian jangka pendek dan penyelesaian jangka panjang. Bagi penyelesaian jangka pendek, pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan yang melibatkan kerja pengorekan dan pembuangan kelodak di dalam sungai telah dan sedang dilaksanakan di sepanjang Anak Sungai Udang. Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan kolam-kolam takungan banjir (3 kolam takungan banjir) secara berkala juga telah dilaksanakan. Kerja-kerja yang dilaksanakan ini telah menampakkan kesannya dalam mengurangkan impak kejadian banjir kilat dikawasan yang terlibat di mana sehingga Julai 2021 tiada kes banjir kilat melibatkan Anak Sungai Udang.
Bagi penyelesaian jangka panjang, JPS telah memohon peruntukan sebanyak RM20 juta dalam RMK-12 melalui peruntukan Persekutuan bagi melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Anak Sungai Udang yang mana ia melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Anak Sungai Udang sepanjang 2km dan melibatkan pengambilan balik tanah. Bagi menghadapi isu banjir di kawasan tadahan Anak Sungai Udang, selain daripada pelaksanaan Projek RTB Anak Sungai Udang, kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan juga diperlukan. Keadaan sistem saliran dalaman yang kecil dan tidak mampu menampung pertambahan air larian hujan perlu dinaiktaraf. Selain itu, tindakan penguatkuasaan perlu diambil terhadap premis dan struktur bangunan yang terlalu rapat dengan sistem saliran dan sesetengahnya dibina di atas sistem saliran. Perkara ini menyebabkan kesukaran bagi pihak JPS dan PBT untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan kerja naiktaraf. Tindakan penguatkuasaan juga perlu di ambil terhadap mereka yang membuang sampah ke dalam sistem saliran dan sungai yang mana ia menyebabkan aliran air tersekat terutamanya semasa kejadian hujan lebat