Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
62) BANJIR KAMPUNG SUNGAI SERAI
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah punca dan tindakan mitigasi untuk mengatasi banjir yang semakin kerap berlaku di Sungai Serai?
Hasil siasatan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hulu Langat mendapati punca utama banjir yang sering berlaku di Sungai Serai adalah disebabkan oleh faktor keadaan topografi yang rendah di Kampung Sungai Serai. Selain dari itu, kejadian water backflow daripada pertembungan Sungai Langat dan Sungai Serai juga sering berlaku menyebabkan kejadian banjir berlaku.
Sebagai tindakan mitigasi jangka masa pendek, JPS telah melaksanakan Kerja-Kerja Penyelenggaraan dan Pembersihan di Kampung Sungai Serai, Mukim Hulu Langat, Daerah Hulu Langat dengan kos sebanyak RM104,396.00 yang dijangka siap sepenuhnya pada 16 Disember 2022. Kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan secara berkala dan hanya berbaki satu kali penyelenggaraan sahaja untuk disiapkan bagi tahun 2022. Selain itu, JPS Daerah Hulu Langat telah memohon penyewaan pam bergerak yang berkapasiti 10 cusec (ft3/s) untuk ditempatkan di Kampung Sungai Serai.
Sebagai tindakan mitigasi jangka masa panjang pula, kejadian banjir di Sungai Serai akan diatasi sepenuhnya dengan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 dengan anggaran kos sebanyak RM2.074 bilion tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.