Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

64) BANJIR DI SELANGOR DAN DI DAERAH KLANG

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pihak kerajaan merujuk "Best Practices" untuk mengatasi masalah banjir kilat dan banjir termenung di Selangor?

    Langkah-langkah pengurusan terbaik (Best Management Practices) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dalam mengatasi masalah banjir kilat dan banjir termenung di Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    1. Mensyaratkan keperluan penyediaan tadahan (detention facilities) berdasarkan Purata Selang Ulangan 100 ARI ke atas sebarang permohonan pembangunan tanah dan reka bentuk tadahan tersebut perlu dirujuk sebagai parameter bagi penyediaan pelan induk saliran terperinci di kawasan pemajuan yang terlibat.
    2. Analisis hidraulik dan hidrologi bagi reka bentuk tadahan dan sistem saliran adalah disyaratkan untuk merujuk Manual Saliran Mesra Alam Edisi 2 (MSMA 2nd Edition) 2012.
    3. Melaksanakan penyenggaraan dan penaiktarafan ke atas semua struktur sistem saliran termasuk kolam takungan, sistem perparitan, benteng, sistem amaran banjir dan sebagainya bagi memastikan keupayaan takungan dan kefungsian struktur-struktur saliran lebih optimum semasa waktu puncak. Tahap penyelenggaraan dan penaiktarafan yang dilaksanakan juga mengambilkira hasil kajian dan data-data banjir terkini bagi melihat keberkesanan mekanisme terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir yang kompleks dan berbeza di setiap kawasan.
    4. Menjalankan beberapa siri kajian ke atas sistem saliran yang berada di dalam kawasan berisiko banjir bagi penghasilan simulasi hidraulik dan hidrologi serta mengenalpasti langkah-langkah penyelesaian dan pengurangan risiko masalah banjir di Negeri Selangor. Laporan kajian tersebut akan dirujuk sebagai parameter bagi penyediaan pelan induk dan rekabentuk saliran terperinci di kawasan sekitar.
    5. Perancangan strategi dan pemodelan yang digunakan adalah pendekatan yang melibatkan semua daerah di Negeri Selangor di mana kawasan yang sering berlaku banjir kilat atau hotspot banjir diberi keutamaan. Antara skop tebatan banjir yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-
    • Menaiktaraf sungai
    • Melebar dan mendalamkan sungai
    • Membina kolam takungan banjir
    • Membina kunci air
    • Meninggi/ membina ban sungai
    • Menyediakan pam bergerak6. Kerajaan Negeri Selangor melalui JPS telah membuat perancangan pengurusan banjir melalui dua (2) kaedah iaitu langkah struktur dan langkah bukan struktur dalam menangani isu banjir pada masa akan datang.

      Langkah struktur melibatkan projek tebatan banjir yang merangkumi komponen seperti berikut:-

    • Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir.
    • Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi di samping untuk tujuan pengurusan banjir.
    • Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat.
    • Pembinaan pintu kawalan air dan rumah pam yang diintegrasikan dengan Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data Berkomputer – Supervisory Control And Data Acquisition (SCADA) bagi pintu air di kawasan yang berisiko tinggi mengalami banjir. Pintu Air ini akan dikawal secara automatik berdasarkan kenaikan paras air di sungai dan juga boleh dikawal serta dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.
    • Melebar dan mendalamkan sungai seperti Projek Mendalamkan dan Melebarkan Sungai Klang Termasuk Meninggikan Ban Sungai Klang.
    • Menaiktaraf sistem saliran.

    Langkah bukan struktur pula terdiri daripada komponen-komponen seperti berikut:-

    • Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang berupaya meramal kejadian banjir monsun 7 hari lebih awal, memberi amaran banjir monsun 2 hari lebih awal, ketepatan ramalan aras air (+/- 0.5m) dan ramalan banjir kilat 1-3 jam lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, PRAB juga berupaya memberi amaran dan hebahan banjir monsun dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir. Perolehan program ini telah bermula pada September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2024. Program ini merangkumi pengesanan, ramalan, amaran dan hebahan.
    • Pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi termasuk Sistem Siren Amaran Banjir untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.
    • Pembangunan Sistem Pemantauan Banjir melalui laman web Infobanjir Negeri Selangor untuk memberi amaran awalan banjir kepada orang awam mengenai status paras air sungai, taburan hujan dan kamera pemantauan status banjir.
    • Penggunaan Garis Panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menetapkan keperluan mandatori yang perlu dipatuhi bagi pembangunan baru di kawasan bandar.
    • Pendekatan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu dan Pengurusan Banjir Bersepadu bagi rancangan pengurusan banjir. Ini akan memberikan pendekatan yang lebih seimbang antara langkah-langkah struktur dan bukan struktur serta tahap penyertaan masyarakat yang lebih tinggi.
    • Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM – Integrated River Basin Management) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP – Integrated Flood Management Plan) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).
    • Pengurusan kawasan tadahan yang merangkumi kawalan pembangunan, pemeliharaan tanah dan pengurusan penggunaan tanah tinggi.
    • Peta Hazard Banjir yang digunakan untuk tujuan penilaian risiko bagi mengurangkan kerugian akibat banjir.
    • Kajian semula keupayaan dan operasi empangan di bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Air Selangor untuk mengkaji kesesuaian Empangan Sg. Langat dan Empangan Sg. Semenyih digunakan untuk tujuan operasi kawalan banjir.

    Selain itu, Kerajaan Negeri sedang mengkaji cadangan kaedah kawalan air di sumber atau control-at-source. Cadangan ini menggalakkan kawalan banjir dari segi perbandaran di mana syarat akan dikenakan pada pembinaan bangunan yang baru untuk menyediakan takungan air hujan dalam bangunan sebelum mengalir ke sistem saliran.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji kaedah baru untuk menghubungkan kolam atau tasik sedia ada dengan sungai secara berperingkat bagi tujuan pengurusan banjir dan bekalan air.

  2. Sejauh manakah pembersihan parit dilaksanakan mengikut jadual khususnya di daerah Klang?

    JPS

    Bagi kerja pembersihan parit di Daerah Klang, JPS akan melaksanakan kerja pembersihan bagi saliran utama manakala saliran dalaman akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri Selangor telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM609,696.00 kepada JPS bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan parit dan sungai di Daerah Klang. Secara puratanya kerja pembersihan parit menggunakan jentera akan dilaksanakan antara dua (2) hingga empat (4) pusingan setahun mengikut keperluan parit tersebut.

    MPK

    Tindakan pembersihan parit yang dilaksanakan di peringkat Majlis adalah:

    1. Kerja pemantauan di tapak seminggu 3 kali;
    2. Laporan bergambar kerja di tapak dihantar ke penyelia dan semakan semula akan dilakukan di lapangan;
    3. Sekiranya berlaku kecemasan atau bencana, tindakan segera akan diambil oleh pihak jabatan dan kontraktor yang dilantik di kawasan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.