Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
228) BANJIR DI FELCRA SEMUNGKIS
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah EKVE menyumbang pada peningkatan pelepasan air ke dalam anak sungai ketika hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir kilat yang kerap di kawasan Laman Gahal Jalan Felcra Semungkis?
Kerja-kerja pembinaan di sepanjang jajaran Lebuhraya EKVE berhampiran kawasan Kem An-Naim dan kawasan sekitarnya telah siap di tapak iaitu kerja-kerja yang melibatkan kerja tanah, pemotongan & penambakan cerun, pembetung (culvert), longkang, pavemen/ turapan jalan dan lampu jalan. Kerja di tapak hanya berbaki kerja-kerja melibatkan penyediaan garisan jalan (road marking) dan sistem M&E bagi pangawasan lebuhraya sahaja.
Selain itu, pihak EKVE juga telah menyediakan rekabentuk tambahan pembinaan iaitu on-site detention pond /kolam takungan di kawasan berhampiran Kem An-Naim dan sekitarnya bagi memastikan aliran air dari lebuhraya akan disalurkan ke kolam-kolam yang disediakan sebelum ianya dilepaskan ke Sungai Gahal berhampiran. Rekabentuk kolam-kolam takungan tersebut telah dikemukakan kepada pihak JPS Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang sebelum perlaksanaannya di buat di tapak. Sebagai makluman, kolam-kolam takungan tersebut telah siap dibina di tapak.
Manakala bagi kejadian banjir yang melibatkan Laman Gahal, Jalan Felcra Semungkis yang berlaku adalah tidak berpunca dari aliran air projek lebuhraya EKVE. Pihak EKVE dan Jurutera Perunding telah menjalankan siasatan di tapak dan berikut adalah punca-punca yang telah dikenalpasti;
i. Kerja-kerja tanah oleh pihak ke-tiga di bahagian atas (kawasan tinggi) berhampiran Laman Gahal, Sg Semungkis tanpa perlaksanaan sistem kawalan hakisan kelodak sepertimana keperluan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Akibatnya, aliran air yang mengalir apabila hujan lebat akan memasuki Sungai Gahal tanpa kawalan bersekali dengan kelodak-kelodak tanah di kawasan tersebut.
ii. Sungai Gahal yang sempit akibat pembangunan struktur oleh pemilik-pemilik tanah persendirian bagi pembinaan di kawasan tersebut menyebabkan aliran sungai menjadi sempit dan kapasiti sungai berkurangan;
iii. Penyelenggaraan terhadap sungai tersebut tidak dibuat secara berkala bagi memastikan kapasiti dan aliran sungai sentiasa dalam keadaan baik; dan
Sungai Gahal masih lagi belum diwartakan sebagai rezab sungai dan ianya menjadi kekangan kepada pihak berwajib untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala.