Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
183) BANJIR AKIBAT PEMBANGUNAN TIDAK TERANCANG
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah ada tindakan tegas terhadap pemaju yang mengabaikan aspek pemulihan alam sekitar dan kelemahan penyelenggaraan sistem saliran? Jika ada, sila nyatakan bentuk tindakan.
SPBT
Pemaju yang gagal mematuhi syarat-syarat dalam kelulusan kerja tanah dan kelulusan pelan, jalan dan perparitan akan dikenakan notis arahan berhenti kerja dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM25,000.00 di bawah Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Jika disabitkan bersalah atas sesuatu kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak kurang dari 5 tahun atau didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau kedua-duanya sekali. Jika kesalahan itu berterusan, denda tersebut boleh meningkat sehingga RM500.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.
JPS
Antara tindakan-tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor terhadap pemaju yang mengabaikan aspek pemulihan alam sekitar dan kelemahan penyelenggaraan sistem saliran adalah dengan melaksanakan beberapa siri Program Ops Lumpur sebagai langkah konstruktif bagi pemantapan pemantauan dan pemeriksaan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) yang telah diluluskan berdasarkan kepada garis panduan di dalam merujuk Manual Saliran Mesra Alam Edisi Kedua 2012 (MSMA 2nd Edition).
Perkara ini adalah selaras dengan keputusan Majlis Sumber Air Negara ke-4 (MSAN 4) pada 20 Ogos 2008 telah bersetuju agar Program Ops Lumpur dilaksanakan untuk memantau aktiviti kerja tanah di tapak pemajuan. Program Ops Lumpur turut disertai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor. Oleh yang demikian, pasukan petugas yang terdiri daripada wakil-wakil agensi, PBT, Jabatan lain dan JPS Daerah diwujudkan untuk membantu JPS Negeri Selangor dalam pelaksanaan Program Ops Lumpur khususnya dari segi aspek penguatkuasaan, perundangan dan kejuruteraan.
Impak kegagalan pematuhan pelan ESCP mengakibatkan masalah kejadian banjir lumpur ketika hujan lebat, pencemaran air sungai yang boleh memberi kesan kepada hidupan sungai dan juga bekalan air bersih, sungai/ alur menjadi cetek yang boleh menyebabkan pengurangan kapasiti tadahan dan limpahan air sungai/ alur. Kegagalan pematuhan pelan ESCP oleh sesebuah pembangunan akan dikenakan kompaun dan juga denda dari agensi yang mempunyai penguatkuasaan seperti PBT, JAS dan LUAS.
Berikut adalah akta/ enakmen yang dirujuk semasa Program Ops Lumpur dilaksanakan:-
1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
- Seksyen 70 (A) (Kerja Tanah)
– Denda RM50,000.00 maksimum
– Penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali
Catatan: Sekiranya suatu kesalahan yang berterusan denda boleh meningkat sehingga RM500.00 bagi tiap-tiap kesalahan itu.
- Seksyen 71 (Penalti kerana bangunan atau kerja tanah gagal)
– Denda RM500,000.00 maksimum
– Penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali
2) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 – Jabatan Alam Sekitar (JAS)
- Seksyen 34(a) (Laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling akibat aktiviti yang ditetapkan)
– Denda RM100,000.00 maksimum
– Penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali
3) Enakmen Luas No. 2 1999. – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
- Seksyen 79 (Larangan pencemaran sesuatu sumber air)
– Kompaun tidak melebihi RM25,000.00.
– Denda RM100,000.00.
– Penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan Program Ops Lumpur yang telah dilaksanakan oleh JPS Negeri Selangor bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, berikut adalah antara tindakan yang diambil kepada pemaju yang mengabaikan aspek pemulihan alam sekitar dan kelemahan penyelenggaraan sistem saliran:-
- Arahan stop work order dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
- Mengarahkan pihak pemaju untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pembetulan di tapak dan mengemukakan laporan pematuhan kepada Jabatan.
- Siasatan semula akan dibuat setelah laporan pematuhan dan pembaikan dari pihak pemaju dikemukakan.
- Memohon pihak pemaju mengambil langkah lebih konstruktif ke atas keperluan penyediaan pelan kawalan hakisan tanah dan sedimentasi serta menjadi lebih sensitif ke atas impak terhadap alam sekitar.
- Kompaun/ saman antara RM25,000.00 hingga RM500,000.00.
-
Apakah hak penduduk asal dalam menuntut kerugian yang dihadapi akibat daripada pembangunan tidak terancang ini?
Di bawah Seksyen 11, 12 dan 13 Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), Orang Asli berhak menuntut pampasan sekiranya tanah, tanaman dan kubur mereka terlibat dengan apa-apa pembangunan mahupun transaksi yang boleh mendatangkan kerosakan dan kerugian kepada mereka. Masyarakat Orang Asli juga perlu merujuk kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah masing-masing bagi mendapatkan bantuan daripada pegawai JAKOA untuk memudah cara urusan tuntutan.