Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

360) BANJIR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan dan persediaan Kerajaan Negeri dalam menghadapi banjir yang biasanya akan berlaku pada akhir tahun dan awal tahun di seluruh Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Bil. 1/2023 pada 23 Oktober 2023 yang telah dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Mesyuarat ini bagi menyelaraskan maklumat berkaitan tinjauan cuaca sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), serta mendapatkan maklum balas agensi berhubung kesiapsiagaan menghadapi kejadian bencana. Ini termasuk status anggota bertugas, aset-aset, serta keperluan logistik oleh setiap agensi/jabatan. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan segera di semua lokasi bencana. JPBD dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah bersiapsiaga memainkan peranan masing-masing bagi menghadapi musim MTL dengan melaksanakan operasi dan koordinasi bersepadu di peringkat daerah dan negeri.

     

    Semua jabatan dan agensi akan memainkan peranan tindakan selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara. Segala bantuan pengoperasian bersepadu hendaklah diselaraskan melalui JPBD bagi Tahap 1 manakala melalui JPBN bagi Tahap 2.

     

    Semua Pegawai Daerah selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah diarah melaksanakan mesyuarat persediaan di peringkat daerah dengan segera bagi memastikan perancangan awal dalam pengurusan aset pemindahan dan menyelamat, pengurusan pusat pemindahan serta bekalan bahan mentah yang mencukupi.

     

    Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) dimohon memaklumkan kawasan-kawasan hotspot serta berisiko banjir kepada JPBD dan JPBN, serta bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor (JKR) bagi tujuan penyelenggaraan dan mengedarkan pelan hotspot banjir. Semua aset seperti pam air / banjir (pelbagai jenis), stesen telemetri, stesen amaran, stesen sukatan luahan, stesen curahan hujan, stesen paras air, dan stesen kamera pemantauan banjir dipantau secara harian bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan bersedia.

     

    Polis Diraja Malaysia Negeri Selangor (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor (APM) dan Briged 11 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga, di mana semua agensi telah merangka pelan tindakan operasi semasa MTL. Aset-aset yang digunakan semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah ditempatkan di lokasi strategik seperti di pangkalan hadapan di setiap daerah.

     

    Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM) bersedia dengan pewartaan 1,152 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan memastikan garis panduan penetapan dan pengendalian mangsa yang mengalami masalah kesihatan dikuatkuasakan. Bekalan keperluan asas semasa bencana juga dipastikan dalam keadaan baik dan mencukupi.

     

    Bagi melancarkan penyelarasan setiap aspek pengurusan bencana, Kerajaan Negeri telah menetapkan peranan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) dalam kesiapsiagaan menghadapi MTL seperti berikut :

    BIL EXCO SKOP PENUGASAN
    1. YB Tuan Ng Sze Han

    Pemulihan Kawasan industri

    2. YB Ir. Izham Bin Hashim

    Pemulihan Infrastruktur

    3. YB Tuan Borhan Bin Aman Shah

    Pengurusan PPS

    4. YB Tuan Ng Suee Lim

    Pembersihan/PBT

    5. YB Datuk Rizam Bin Ismail

    Penyelarasan bencana luar bandar

    6. YB Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

    Menyelaras Bantuan Sukarelawan

    7. YB Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

    Kesihatan

    8. YB Tuan Papparaidu A/L Veraman

    Tugas-tugas Khas

    9. YB Dr. Mohammad Fahmi Bin Ngah

    Pengurusan telekomunikasi dan Masjid/Surau

    10. YB. Puan Anfaal Binti Saari

    Penyelarasan Kebajikan

     

    Unit Pengurusan Bencana melalui Smart Selangor Operations Centre (SSOC) beroperasi memantau indikasi petunjuk cuaca serta menyelaras komunikasi dengan District Disaster Opertaion Centre (DDOC) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat dalam menangani kejadian Bencana di Negeri Selangor.

  2. Berikan senarai kerja-kerja yang telah dilakukan oleh pihak yang terbabit dalam menangani masalah banjir khususnya di DUN Morib.

    Untuk makluman, Unit Pembangunan (Fizikal) Pejabat Daerah Kuala Langat (PDTKL) melalui JKBD Kuala Langat telah melaksanakan 4 projek/kerja yang berkaitan dengan menangani banjir iaitu:

     

    1. Kerja baikpulih kerosakan disekolah-sekolah sebagai pusat penempatan sementara (PPS) bagi daerah kuala Langat. Sekolah yang terlibat bagi DUN MORIB adalah SK Seri Lanang;
    2. Kerja menaiktaraf longkang lorong Sekolah Kampung Kelanang;
    3. Kerja Menaiktaraf perparitan di sekitar Kg. Kanchong Tengah serta kerja-kerja berkaitan; dan
    4. Kerja-Kerja penyelenggaraan sistem perparitan di sekitar Kg. Morib Tali Air.

     

    Daripada 4 projek tersebut, 3 projek telah diselesaikan manakala satu lagi projek sedang dalam tindakan pelaksanaan Unit Pembangunan (Fizikal) Pejabat Daerah Kuala Langat.

  3. Adakah pihak Kerajaan Negeri akan segera bertindak pada semua parit-parit dikawasan kampung-kampung dan taman-taman akan dibersihkan serta didalamkan untuk menanggani masalah banjir di seluruh kawasan DUN Morib tidak kira ianya dari jabatan mana pun yang terlibat?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah membuat perancangan bagi menghadapi isu banjir di kawasan hotspot banjir di seluruh Selangor. Perancangan tersebut adalah seperti berikut:-

     

    1. Menempatkan 40 unit pam bergerak separa kekal milik JPS di lokasi hotspot banjir. 57 unit pam bergerak bersedia untuk digerakkan apabila diperlukan di kawasan hotspot banjir manakala 6 unit pam bergerak ditempatkan di JPS Negeri Selangor dalam mod bersedia (standby) sekiranya diperlukan oleh Daerah.
    2. Sebanyak 15 unit pam bergerak dalam proses perolehan dijangka diterima secara berperingkat mulai bulan Oktober 2023.
    3. Sebanyak 62 unit rumah pam sedia ada dipastikan beroperasi dengan baik.
    4. Sekiranya banjir meluas mula berlaku di beberapa daerah, Bilik Gerakan Banjir JPS Negeri akan dibuka untuk menyelaras pengumpulan laporan-laporan awal kejadian banjir yang berlaku di Daerah. Di samping itu, petugas Bilik Gerakan juga akan memantau aras air, taburan hujan, status keberfungsian siren dan juga  Internet Protocol (IP) Camera melalui Laman Web Infobanjir Selangor. Data-data status semasa aras air dan taburan hujan yang mencatatkan bacaan peringkat amaran dan bahaya akan dihebahkan dari masa ke semasa kepada pengurusan JPS dan juga group WhatsApp Bencana Negeri secara berkala sebagai langkah berjaga untuk tindakan selanjutnya dari semua pihak yang terlibat.
    5. Pelaksanaan kerja-kerja kecil bagi mengatasi banjir di beberapa kawasan yang dijangka banjir terutamanya kerja-kerja pembersihan parit dan sedang melaksanakan beberapa lagi siri kerja jangka pendek mengatasi banjir dan memfokuskan kepada pengukuhan benteng pantai.
    6. Pemantauan berterusan di kawasan hotspot banjir dan kawasan-kawasan kunci air terutama ketika air pasang besar.
    7. Memastikan aset JPS Kuala Langat seperti jadual berikut dalam keadaan siap siaga sebagai persediaan menghadapi bencana banjir:
    Bil.

    Jenis Aset

    Kuantiti (Unit)

    1.

    Bot

    2

    2.

    Enjin Bot

    2

    3.

    Treler Bot

    1

    4.

    Lori – 11 tan

    2

    5.

    Kenderaan 4 x 4

    1

    6.

    Backhoe/ Jengkaut

    2

Lampiran

Tiada Lampiran.