Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

262) BANGUNAN TERBIAR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan bangunan terbiar di Petaling Jaya dan Selangor secara keseluruhannya?

    Sebanyak 16 projek, 182 unit bangunan persendirian dan 3 bangunan kerajaan terbiar telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Petaling Jaya.

     

    Manakala secara keseluruhannya sebanyak 38 projek, 2,752 unit bangunan persendirian dan 3 bangunan kerajaan yang terbiar telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri melalui PBT di seluruh negeri Selangor.

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk menangani isu ini?

    Bagi menangani isu projek dan bangunan terbiar, Kerajaan Negeri melalui PBT telah melaksanakan tindakan sewajarnya antaranya seperti yang berikut:

     

    • Majlis Bandaraya Shah Alam telah menubuhkan Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai dan mesyuarat/ perbincangan serta lawatan tapak bersama Pemaju Penyelamat akan diadakan secara berkala mengikut keperluan dan ketetapan;

     

    • Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengeluarkan notis di bawah seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MBPJ 1999 kepada pemilik bangunan terbiar dan meminta untuk kerja-kerja pembersihan dijalankan dalam tempoh 14 hari. Usaha carian pemilik harta juga akan dijalankan menerusi Jabatan Penilaian Majlis dan agensi luar jika pemilik gagal dikesan. Pihak Majlis juga akan membersihkan semak samun dan mengemukakan tuntutan kos pembersihan kepada pemilik;

     

    • Majlis Bandaraya Subang Jaya telah menubuhkan Bahagian Projek Terbengkalai dan Bangunan Bermasalah bagi memantau dan mengawal selia status projek-projek terbengkalai termasuk projek perumahan dalam kawasan pentadbiran Majlis. Bahagian ini mengadakan mesyuarat secara berkala sebanyak tiga (3) kali setahun untuk melaporkan dan memantau status kemajuan terkini bagi projek-projek terbengkalai dengan melibatkan pihak pemaju;

     

    • Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menubuhkan Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai dan Pihak Berkuasa Tempatan (JKPPT PBT) dan akan menjalankan pemantauan melalui mesyuarat sebanyak empat (4) kali setahun;

     

    • Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi bangunan terbiar yang memberikan kacau ganggu seperti persekitaran yang tidak terjaga dan segala kos akan di tuntut kepada pemilik premis;

     

    • Majlis Perbandaran Hulu Selangor mencadangkan supaya bangunan kedai/ pejabat yang terbiar dijadikan sebagai Pusat Kuarters Pekerja (Centralised Labour Quarters (CLQ)).

     

    • Majlis Daerah Sabak Bernam telah menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai bagi menjalankan pemantauan.

     

  3. Apakah Kerajaan Negeri akan mengenakan denda atau cukai tambahan bagi lot bangunan terbiar?

    Kerajaan Negeri tidak akan mengenakan sebarang cukai tambahan atau kenaan denda bagi lot bangunan terbiar sebagaimana yang tertakluk dalam Akta 171 namun denda lewat berjumlah RM20.00 akan dikenakan ke atas pegangan harta yang tidak menjelaskan cukai taksiran mengikut tempoh yang ditetapkan.

     

    Namun, pihak Majlis akan mengeluarkan Surat Amaran dan Notis serta kompaun di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] ke atas pemaju bagi pembangunan yang terbengkalai dan tidak dikawal selia dengan baik. Sebagai tambahan, tindakan kaveat terhadap tanah berkenaan juga turut akan dilaksanakan sekiranya tunggakan bil pemotongan oleh kontraktor Majlis tidak diselesaikan oleh pemaju/ pemilik bangunan.

Lampiran

Tiada Lampiran.