Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
21) BANGUNAN MPKL
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan terbaru MPKL untuk projek pembangunan bangunan baru MPKL serta kedudukan bangunan sedia ada?
Rancangan terbaharu MPKL untuk projek pembangunan bangunan baharu, pihak MPKL telah membuat perancangan semula pembangunan selaras dengan keputusan Mesyuarat Pengurusan MPKL Bilangan 4 Tahun 2021 yang telah diadakan pada 25 Mei 2021. Anggaran tempoh masa dari fasa perancangan pembangunan sehingga ke fasa pembinaan mengambil masa selama 6 tahun bermula dari tahun 2021 sehingga tahun 2027. Fasa perancangan pembangunan terbahagi kepada empat fasa utama iaitu :
- Fasa 1 – Pemilihan cadangan tapak/ tanah.
MPKL telah mengenal pasti lokasi bagi tapak cadangan pembangunan bangunan baharu MPKL. Lokasi tapak terletak di Kota Seri Langat berkeluasan 10 ekar dan merupakan pusat pentadbiran daerah Kuala Langat. Pada masa ini, hanya Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat yang berada di tapak tersebut. Tapak cadangan merupakan rizab MPKL seperti mana yang telah diluluskan dalam Kelulusan Kebenaran Merancang bertarikh 18 Mei 2020. Surat permohonan pewartaan tanah kerajaan bagi tapak bangunan baharu MPKL telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat pada 31 Mei 2022.
- Fasa 2 – Penilaian projek pembangunan
Pihak MPKL telah memulakan pelaksanaan penilaian projek pembangunan. Anggaran tempoh penilaian projek selama dua tahun bermula tahun 2022 sehingga tahun 2024. Status semasa bagi fasa penilaian projek, pihak MPKL kini sedang di peringkat akhir penyediaan pelan konsep bangunan baharu MPKL. Pelan konsep bangunan baharu MPKL yang disediakan dapat menampung kapasiti kakitangan sejumlah 1200 orang setelah mengambil kira unjuran penambahan kakitangan bagi tempoh 30 tahun akan datang.
- Fasa 3 – Rekabentuk, perolehan dan kelulusan Pihak Berkuasa.
Penyediaan reka bentuk, perolehan dan kelulusan Pihak Berkuasa dijangka akan bermula pada tahun 2024 dan anggaran tempoh masa adalah satu tahun serta dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun 2025.
- Fasa 4 – Pembinaan
Peringkat pembinaan dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun 2025. Anggaran tempoh masa pembinaan adalah selama dua tahun dan jangkaan siap pada tahun 2027.
Bagi kedudukan bangunan sedia ada, pihak MPKL sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang telah bermula pada 03 Februari 2022 dan skop kerja yang terlibat seperti penyediaan tempat meletakkan kenderaan, pondok pengawal, laluan keluar masuk dan pembinaan bangunan tambahan. Jangkaan siap kerja adalah pada 30 Julai 2022.
Selain itu juga, pihak MPKL akan menempatkan kakitangan jabatan teknikal dari Ibu Pejabat MPKL ke bangunan lama di Telok Datok yang dahulunya merupakan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat. Proses penempatan ini disebabkan bangunan MPKL sedia ada tidak dapat menampung jumlah kakitangan yang semakin bertambah. Kerja-kerja mengubah suai dan menaik taraf bangunan akan bermula pada 20 Julai 2022 dan akan siap pada 19 Disember 2022. Tempoh pelaksanaan kerja adalah 6 bulan.