Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
152) BANGUNAN BARU MPKL
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini pembinaan Bangunan Baru MPKL memandangkan projek ini perlu disegerakan sejajar dengan kedudukan Kuala Langat sebagai sebuah perbandaran?
Untuk makluman, pembinaan bangunan baharu MPKL ini telah bermula pada 22 Januari 2018 yang dilaksanakan oleh kontraktor HFM Daya Bina Sdn Bhd dengan harga kontrak termasuk GST RM39,277,817.48. Kontraktor yang dipilih ini telah melalui sistem perolehan secara terbuka dan proses pemilihan kontraktor dibuat di peringkat Kerajaan Negeri. Projek ini mengalami masalah pada peringkat awal pembinaan dimana cerucuk yang ditanam gagal dalam ujian daya ketahanan menampung beban Ujian PIT (Pit Integrity Test) dan PDA (Pile Dynamic Analysis).
Mengikut saranan pihak perunding, ujian kepada semua cerucuk yang ditanam perlu dibuat bagi mendapatkan gambaran sebenar kerosakan yang berlaku. Ujian secara menyeluruh ini telah dilakukan pihak kontraktor dan mendapati sebahagian besar cerucuk yang ditanam adalah gagal.
Pihak Majlis juga melantik penguji cerucuk yang berasingan bagi membuat ujian kali kedua bagi mendapatkan keputusan yang tidak memihak mana-mana pihak. Keputusan ujian kali kedua ini juga menunjukkan bahawa cerucuk yang ditanam adalah gagal. Mengikut siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) projek ini telah disahkan mempunyai kes rasuah untuk memanipulasikan keputusan ujian PIT dan PDA kali pertama yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor.
Beberapa kaedah pembaikan cerucuk pernah dicadangkan untuk membolehkan projek bangunan baharu MPKL ini diteruskan. Kaedah pembaikan yang dicadangkan melibatkan perubahan jenis dan kaedah cerucuk yang akan ditanam. Namun kos pembaikan ini terlalu tinggi dan tidak efektif untuk dilaksanakan (melebihi RM10 juta).
Mengikut saranan pihak perundangan yang berpandukan syarat-syarat kontrak pembinaan projek, Notis penamatan kontrak pembinaan bangunan baharu MPKL telah dikeluarkan kepada pihak kontraktor pada 22 Mac 2021. MPKL juga telah menfailkan WRIT saman kepada pihak kontraktor utama ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Julai 2021. Penamatan kontrak serta pemfailan writ saman ke mahkamah adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Jenayah 1 Shah Alam bertarikh 18 Februari 2021 dimana pemeriksa cerucuk pihak kontraktor telah didapati bersalah. Oleh yang demikian, pihak MPKL telah menggunakan Fasal 51.1 (b) Syarat-syarat Kontrak untuk menamatkan perkhidmatan kontraktor bagi menjaga keselamatan bangunan.
Buat masa ini bekas tapak projek bangunan baharu MPKL sedang dalam peringkat pembersihan dan tapak ini akan digunakan bagi pembinaan kemudahan fasiliti yang lain. Selaras dengan penaiktarafan Majlis Daerah Kuala Langat kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat, penilaian semula keperluan pembinaan bangunan baru sedang dikaji semula dengan teliti dengan mengambilkira kesesuaian lokasi-lokasi lain termasuk penggunaan bangunan-bangunan lama kerajaan yang kosong. Dicadangkan bangunan Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat yang lama dijadikan bangunan kedua MPKL dalam masa terdekat.
Untuk perancangan jangka masa panjang, MPKL telah merangka satu cadangan untuk pembangunan bangunan yang baharu di Kota Seri Langat dengan mengambil kira saranan Pegawai Daerah Kuala Langat untuk menjadikan Kota Seri Langat sebagai Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Langat