Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
227) BALAI PENGHULU MUKIM IJOK SERTA PERJAWATAN PENGHULU BAHARU
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah terdapat rancangan untuk membina Kompleks Balai Penghulu Mukim Ijok termasuk sebuah dewan orang ramai untuk mengurus keperluan penduduk memandangkan Pejabat Penghulu Mukim Api-Api/Ijok yang terletak di Assam Jawa adalah agak jauh dari Ijok?
Masa ini, belum terdapat perancangan untuk membina Kompleks Balai Penghulu Mukim Ijok secara berasingan memandangkan mukim Api-Api dan Mukim Ijok digabungkan pentadbirannya di bawah seorang Penghulu sahaja. Dari sudut jarak Balai Penghulu Mukim Api-Api / Ijok di Assam Jawa dengan Ijok, adalah dalam anggaran 17km (Assam Jawa – Kampung Bukit Badong). Buat masa ini jarak Balai Penghulu dengan kampung yang ditadbir di bawahnya yang paling jauh terletak di bawah Mukim Jeram di mana jarak Balai Penghulu Mukim Jeram dengan Kampung Felda Bukit Cerakah adalah sejauh 21 km. Mengenai dewan orang ramai di Mukim Ijok, terdapat satu (1) dewan iaitu di Kg. Bukit Badong. Buat masa ini, terdapat perancangan untuk mendirikan satu lagi dewan orang ramai di Mukim Ijok iaitu di Kampung Parit Mahang dan kajian kesesuaian akan dilaksanakan bagi tujuan tersebut.
-
Kepadatan penduduk Mukim Ijok semakin bertambah rentetan kepesatan pembangunan kawasan sekitar seperti di Puncak Alam dan Saujana Utama. Adakah terdapat rancangan untuk melantik jawatan Penghulu Api-Api atau Penghulu Ijok secara berasingan memandangkan penghulu sekarang menjaga kedua-dua mukim serentak?
Jawatan Penghulu Api-Api / Ijok digabungkan mukimnya dan jumlah kampung di bawah pentadbiran Mukim ini adalah sebanyak tujuh (7) kampung tradisi. Buat masa ini, tiada perancangan untuk melantik jawatan Penghulu berasingan bagi kedua-dua mukim ini memandangkan ia akan melibatkan implikasi kewangan tambahan kepada Kerajaan. Jika dikaitkan keperluan menambah satu (1) lagi perjawatan Penghulu dengan kepadatan penduduk Mukim Ijok iaitu di sekitar Puncak Alam dan Saujana Utama, kedua-dua kawasan ini merupakan kawasan yang hampir keseluruhannya ditadbir di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sehubungan itu, pentadbiran kawasan ini secara umumnya terletak di bawah tanggungjawab Ahli Majlis dan Pengerusi Taman dan bukan atas tanggungjawab Penghulu sepenuhnya. Secara alternatif, persempadanan Mukim Bestari Jaya boleh dipertimbangkan untuk dibesarkan memandangkan mukim ini mempunyai hanya tiga (3) kampung tradisi di bawah pentadbirannya dan terletak bersempadan dengan Mukim Ijok.