Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

402) BAIKPULIH DAN BAIKI RUMAH GOLONGAN MISKIN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri ada membuat program baik pulih rumah dan bina baru rumah? Sekiranya ada, nyatakan nama program dan agensi yang terlibat.

    Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Kandis, terdapat dua (2) program baik pulih rumah dan bina baru rumah yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Yang pertama adalah Program Bantuan Baik Pulih dan Bina Baru Rumah Kerajaan Prihatin yang diselaras di bawah portfolio Pembasmian Kemiskinan dan agensi yang terlibat adalah Pejabat Daerah dan Tanah. Kedua, Program Bantuan Baik Pulih dan Bina Baru Rumah Orang Asli yang diselaras di bawah portfolio Hal Ehwal Orang Asli dan agensi yang terlibat adalah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

  2. Siapakah yang layak memohon dan bagaimanakah cara permohonan?

    Antara syarat-syarat utama bagi permohonan bagi Program Bantuan Baik Pulih dan Bina Baru Rumah Kerajaan Prihatin adalah seperti berikut :-

     

    1. Pemohon merupakan pengundi di dalam negeri Selangor dan telah bermastautin melebihi 15 tahun;
    2. Pendapatan seisi rumah hendaklah tidak melebihi RM2,000.00 sebulan;
    3. Umur pemohon adalah di antara 45 tahun hingga 75 tahun sahaja kecuali Orang Kurang Upaya (OKU);
    4. Hanya ketua keluarga sahaja yang layak memohon dan ketua keluarga mestilah bagi isteri pertama sahaja;
    5. Keadaan rumah adalah daif dan tidak sesuai diduduki;
    6. Rumah pemohon mestilah berada di kawasan perkampungan tradisi/ kampung baru yang mana rumah tersebut di atas tanah milik sendiri/ tanah T.O.L yang diberi kebenaran oleh Pejabat Daerah dan Tanah;

     

    Permohonan adalah dengan mengisi borang yang boleh didapatkan di Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Penghulu Mukim atau di UPEN, Selangor

    Manakala bagi permohonan Program Bantuan  Baik Pulih dan Bina Baru Rumah Orang Asli adalah dengan mengisi borang yang boleh didapatkan di Pejabat JAKOA Daerah atau di UPEN, Selangor. Antara syarat-syarat utama bagi permohonan tersebut adalah seperti berikut:-

     

    1. Pemohon merupakan pengundi di dalam negeri Selangor dan telah bermastautin melebihi 15 tahun;
    2. Pendapatan seisi rumah hendaklah tidak melebihi RM2,000.00 sebulan;
    3. Keadaan rumah adalah daif dan tidak sesuai diduduki;
    4. Hanya ketua keluarga sahaja yang layak memohon;
    5. Status tanah adalah pemilikan sendiri, tanah adat (bagi orang asli) dan tidak mencurigakan;
    6. Permohonan mestilah melalui Pegawai JAKOA daerah.

    Permohonan adalah dengan mengisi borang yang boleh didapatkan di Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Penghulu Mukim atau di UPEN, Selangor

  3. Berapakah senarai penerima mengikut kampung-kampung dalam kawasan DUN Sungai Kandis?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin dan Program Bantuan Rumah Orang Asli tidak dipecahkan mengikut kampung ataupun DUN. Program bantuan tersebut dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah dan Tanah dan Pejabat Pegawai JAKOA Daerah untuk diproses dan disiasat sebelum dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh YB EXCO Pembasmian Kemiskinan dan Hal Ehwal Orang Asli. Sehubungan dengan itu, tiada perincian data penerima mengikut kampung di dalam DUN Sungai Kandis.

     

    Namun yang demikian, data atau statistik rasmi berhubung penerima Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin bagi daerah Klang dari tahun 2018 sehingga 2023 adalah  seperti di LAMPIRAN 1 untuk makluman Yang Berhormat jua. Manakala untuk Program Bantuan Baik Pulih dan Bina Baru Rumah Orang Asli tiada penerima bagi daerah Klang.