Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
302) BAIK PULIH TAMAN PERMAINAN DAN SUKAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Beberapa kawasan padang permainan dan sukan di kampung - kampung seperti di Sg Merab, Jenderam Hilir, Dengkil , sangat uzur dan tidak diselenggara. Apakah cadangan kerajaan supaya kawasan kawasan ini dibaikpulih semula supaya tidak membahayakan anak - anak menggunakan failiti tersebut?
Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan masyarakat di tempat awam atau pun persendirian. Pelbagai garis panduan dan papan tanda keselamatan telah diwujudkan agar masyarakat lebih peka terhadap sebarang risiko di sekeliling mereka semasa berada di tempat awam seperti taman permainan atau rekreasi.
Kerajaan Negeri mengambil maklum berkenaan padang permainan yang telah uzur di kampung-kampung dan dinasihatkan supaya ibu bapa memantau aktiviti anak-anak agar tidak melakukan aktiviti yang boleh membahayakan. Kerajaan Negeri melalui PBT atau PDT akan menyemak semula keadaan fasiliti di padang permainan namun pelaksanaan baikpulih tersebut bergantung kepada peruntukan semasa tahunan. Ini kerana buat masa ini keutamaan diberikan kepada fasiliti sukan yang terlibat dengan Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sebagai persediaan Negeri Selangor menjadi tuan rumah.
-
Adakah ada penyelenggaraan berterusan untuk fasiliti sukan dan padang ini di kawasan - kawasan kampung?
Kerajaan Negeri melihat keperluan penyelenggaraan fasiliti sukan sama ada di kawsan bandar atau kampung adalah penting bagi memastikan fasiliti sukan tersebut sentiasa dalam keadaan yang baik serta boleh digunakan bagi tempoh yang lama. Di samping itu, penyelenggaraan berkala juga penting bagi menjaga keselamatan pengguna semasa menggunakan fasiliti tersebut kerana kerosakan awal dapat dikenalpasti dan seterusnya baikpulih dapat dilakukan segera.
Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui PBT atau PDT akan menjalankan kerja penyelenggaraan fasiliti sukan termasuk padang permainan di kawasan kampung namun pelaksanaanya adalah bergantung kepada peruntukan semasa. Peranan PBT atau PDT sahaja tidak cukup sekiranya masih terdapat segelintir masyarakat yang masih melakukan aktiviti vandalisme di taman rekreasi dan permainan. Perkara ini menyebabkan fasilti sukan yang telah diselenggara atau dibina untuk kegunaan masyarakat mengalami kerosakan dan yang lebih membimbangkan lagi akan mengundang kecederaan.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menyeru semua rakyat agar sama-sama menjaga fasiliti sukan yang telah disediakan ini agar manfaatnya dapat digunakan untuk kita semua.