Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
209) BAHASA PAPAN IKLAN
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Ismail Bin Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah statistik aduan dan kesalahan menurut Undang-undang kecil iklan dan Garis Panduan Papan Iklan mengikut PBT-PBT?
Untuk makluman, sehingga September 2010 beberapa PBT ada menerima aduan mengenai pelbagai kesalahan berkaitan papan iklan. Berikut adalah statistik aduan yang diterima oleh PBT- PBT di Selangor berkaitan papan iklan:
BIL PBT BILANGAN ADUAN 1. MBSA 68 2. MBPJ TIADA 3. MPK TIADA 4. MPAJ 76 5. MPSJ 23 6. MPKj 48 7. MPS TIADA 8. MPSp TIADA 9. MDKS TIADA 10. MDHS TIADA 11. MDKL 221 12. MDSB TIADA Setiap PBT mengguna pakai peruntukan Undang-Undang Kecil Iklan 2007 yang menjalankan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) seperti berikut:
Seksyen 3(1)
Memperuntukkan Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua iklan sama ada secara sendiri atau dengan mana-mana bahasa lain.
Seksyen 3(2)
Jika bahasa kebangsaan digunakan bersama bahasa lain dalam sesuatu iklan, perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah:
- Berukuran tiga puluh peratus lebih besar daripada bahasa lain;
- Diutamakan dari segi kedudukan; dan
- Digunakan dengan nahu yang betul
Seksyen 3(3)
Mana-mana orang yang gagal mematuhi perenggan (1) atau (2) melakukan sesuatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda yang tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
-
Apakah langkah untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di papan-papan iklan?
Antara langkah untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di papan-papan iklan ialah dengan menguatkuasakan undang-undang kecil iklan Majlis,mengguna pakai garis panduan Papan Iklan Luaran Negeri Selangor dan Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar yang disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Selain itu. Penggunaan bahasa kebangsaan di papan-papan iklan boleh diperkasakan dengan mengguna pakai Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006, Langkah-Langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam yang menyatakan bahawa bahasa yang digunakan di tempat awam seperti papan iklan, papan tanda dan premis perniagaan juga terangkum sebagai bahasa yang digunakan dalam urusan rasmiia itu bahasa kebangsaan. Ini telah disyaratkan dalam kelulusan pelan pembangunan dan juga lesen iklan.