Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
115) AYAM ENZIM
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah sikap dan pendirian Kerajaan Negeri terhadap isu ini?
Pendirian terhadap isu ini adalah Kerajaan Negeri membantah dengan keras dan sentiasa berusaha menghalang penggunaan enzim atau hormon dalam pemeliharaan ayam. Pendirian ini diambil bagi menjamin keselamatan makanan (food safety) dan kesihatan rakyat negeri ini. Gejala-gejala ini secara terangterangan telah melanggar Akta Binatang 1953 (Semakan 2006), Akta Makanan 1993, Akta Racun 1997, dan beberapa peraturan kerajaan yang lain.
-
Jabatan atau agensi manakah di bawah Kerajaan Negeri yang ditugaskan untuk menyiasat isu ini?
Jabatan yang ditugaskan untuk menyiasat isu ini adalah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor dengan bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Makmal Kesihatan Awam Veterinar di Salak Tinggi, Selangor.
-
Apakah langkah-langkah yang telah atau sedang diambil untuk mengesahkan/menafikan pelbagai dakwaan dalam isu ini?
Langkah-langkah yang telah atau sedang diambil untuk menafikan pelbagai dakwaan dalam isu ini adalah :
- Kenyataan akhbar telah dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan berkhidmatan Veterinar Malaysia yang menafikan ayam daging di pasaran tempatan diberi makanan tambahan dengan enzim babi. Sehingga kini, ayam daging tempatan disahkan sihat untuk dimakan kerana pemantauan sering dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Perakuan ini juga disokong dalam akhbar yang sama oleh Prof. Dr. Zulkifli Idrus, pakar ternakan ayam yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Putra Malaysia, yang menyatakan pemberian enzim babi atau suntikan lain tidak digunakan di Malaysia kerana kosnya yang mahal kerana harus dimport dari negara luar.
- Sehingga kini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menguji beribu-ribu sampel yang diambil secara rawak daripada pusat-pusat penyembelihan, loji-loji pemprosesan, kontena-kontena daging ayam import dan pasarpasar sebagai tindakan pro-aktif untuk mencegah ayam enzim atau ayam hormon memasuki pasaran tempatan. Setakat ini, tiada kes ayam enzim atau ayam hormon direkodkan. Pihak jabatan ini juga telah memusnahkan semua bekalan ayam yang melanggar peraturan-peraturan lain seperti mengandungi mikrob berbahaya mengandungi residu drug veterinar, berkontaminan dengan pestisid dan logam berat serta memusnahkan produk yang ditambah aditif berbahaya.
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah membuat pemerhatian ke atas banyak ladang ayam dan mendapati tempoh pemeliharaan ayam daging di negeri ini pada ketia ini adalah 35 hingga 42 hari iaitu satu tempoh pemeliharaan yang normal. Ini bertentangan dengan hipotesis menggunakan enzim atau hormon, tempoh pemeliharaan dapat dipendekkan kepada 28 hingga 30 hari sahaja.
- Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar sering menafikan penggunaan enzim dan hormon di samping mengesahkan status ayam daging tempatan masih selamat kepada orang ramai melalui pameran-pameran dan sesi bertemu pelanggan yang lain. Saranan umum yang sering diberikan kepada masyarakat adalah membeli ayam daging yang diketahui puncanya terutama mempunyai bungkusan yang lengkap dengan label pengeluar, logo HALAL dan logo VHM (Veterinary Health Mark) atau logo HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Point).
- Kesimpulannya, Kerajaan Negeri menegaskan bahawa dakwaan ayam enzim atau ayam hormon ini merupakan satu isu lama (Harian Metro, Februari 2007) yang dikitar semula dalam media sosial pada masa kini. Semua pemantauan dan pendapat yang dibuat oleh pelbagai agensi dan institusi pengajian tinggi terutamanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menunjukkan gejala ini tidak berlaku di negara ini. Walau bagaimana pun, pihak Kerajaan Negeri akan terus memantau keselamatan dan kesucian bukan sahaja ayam daging malah semua produk haiwan yang lain demi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.