Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

9) AUDIT BIODIVERSITI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan bila audit biodiversiti terkini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhilitan untuk mengenalpasti pemeliharaan dan pemuliharaan fauna di Selangor.

    Negeri Selangor mempunyai kekayaan flora dan faunanya. Untuk memastikan pengekalan warisan biologi ini untuk kepentingan generasi akan datang, strategi tindakan pemeliharaan dan pemuliharaan perlu digariskan dalam rancangan serta pelan tindakan negeri. Sejajar dengan itu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) membangunkan Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Kebangsaan (DKBK) 2016-2025 yang menfokuskan kepada melindungi, memulihkan ekosistem dan habitat biodiversiti negara, isu untuk mengurangkan pemburuan haram, perdagangan hidupan liar serta jumlah spesis hidupan liar. Dalam memastikan kepelbagaian biodiversiti ini dikekalkan, adalah menjadi satu keperluan untuk melaksanakan pengauditan kaedah pengurusan dan inventori flora dan fauna. Bagi Negeri Selangor, Sesi Pengauditan Khas Pengurusan Hutan Dan Impak Kepada Alam Sekitar, Aktiviti Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Serta Pengauditan Pematuhan Agensi Negeri telah dijalankan oleh Jabatan Audit Negara pada tahun 2021 yang telah diselaraskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS). Skop pengauditan ini adalah bagi menilai pengurusan hutan dan pulangan faedah dari aspek ekonomi, alam sekitar, flora dan fauna.  Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) juga telah menjalankan semakan inventori secara berkala bagi hidupan-hidupan liar dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) dan kawasan Perlindungan Hidupan Liar. Semakan inventori ini telah diadakan pada tahun 2019 yang bertujuan memantau jenis/spesis hidupan liar yang hidup di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti. Jabatan PERHILITAN juga sentiasa memastikan tindakan yang dijalankan mematuhi akta-akta yang berkaitan.

  2. Apa data dan fakta yang terkandung daripada analisa audit biodiversiti di Selangor? Berapa haiwan liar dan fauna bakal pupus atau sudah pupus kebelakangan ini?

    Berdasarkan Senarai Red List of Mammals for Peninsular Malaysia, spesis yang telah diisytiharkan pupus ialah Badak Jawa atau nama saintifiknya Rhinoceros Sondaicus. Manakala Badak Sumatera (Dicerorhinus Sumatrensis) dilaporkan tiada penemuan kesan terbaharu di habitat asal dan tersenarai sebagai Critically Endangered (CR) di Malaysia. Turut sama tersenarai sebagai CR adalah Tenggiling (Manis Javanica) dan Harimau Malaya (Panthera Tigris).

     

    Terdapat 9 spesis kehidupan liar yang terancam (EN) seperti berikut:

     

    • Ungka Tangan Putih – White handed gibbon (Hylobates lar);
    • Siamang (Symphalangus syndactylus);
    • Memerang Hidung Berbulu – Hairy-nosed otter (Lutra sumatrana);
    • Musang Memerang – Otter civet (Cynogale bennettii);
    • Leopard (Panthera pardus);
    • Malayan tapir – (Tapirus indicus);
    • Seladang – Gaur (Bos gaurus);
    • Kambing Gurun – Southern serow (Capricornis sumatraensis); dan
    • Rusa Sambar -Sambar deer (Rusa unicolor).
  3. Apa terjadi kepada pemantauan kelip-kelip yang dilaksanakan sebelum ini? Adakah ia disambung kajian dan pemantauan?

    Kewujudan habitat kelip-kelip telah menjadikan ianya satu program
    eko-pelancongan yang menyumbang kepada sumber ekonomi Negeri Selangor dan seterusnya komuniti setempat. Serangga kelip-kelip ini juga berfungsi sebagai bioindikator kepada status kualiti air khususnya Sungai Selangor. Kajian Dan Pemantauan Keperluan Habitat Siput Cyclotropis Carinata yang Merupakan Sumber Makanan Larva Kelip-kelip di Sungai Selangor, Kuala Selangor telah dijalankan sejak tahun 2006 sehingga sekarang. Kajian dan pemantauan populasi kelip-kelip masih sedang dilaksanakan oleh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan melantik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai perunding dan tempoh kajian akan berakhir pada bulan Mei 2023.  Satu kertas cadangan teknikal dan kewangan baharu telah dibentang oleh FRIM dan dikemukakan kepada LUAS pada 10 Februari 2023. Kertas ini merangkumi skop kajian bagi tempoh Jun 2023 sehingga Disember 2030 seiring dengan Pelan Lembangan Bersepadu Sungai Selangor (IRBM) 2022-2030 di bawah LUAS. Berdasarkan pelan tersebut, salah satu polisi yang digariskan adalah berkaitan dengan konservasi kelip-kelip (Polisi 4: Conservation Of Fireflies And The Ecosystems). Polisi ini khusus untuk kelip-kelip dan ianya unik kerana pelan pengurusan lembangan sungai lain tiada polisi spesifik untuk pemuliharaan spesies. Salah satu sasaran di dalam polisi ini adalah untuk memastikan indeks kelimpahan populasi kelip-kelip berada di dalam tahap 1500.

Lampiran

Tiada Lampiran.