Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

57) ASRAMA PEKERJA ASING DI KAWASAN PERINDUSTRIAN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri melihat pembinaan asrama setempat yang memusatkan pekerja-pekerja asing di kawasan perindustrian sebagai satu bentuk usaha yang berkesan dalam menangani masalah lambakan warga asing yang berkeliaran tanpa pemantauan?

    Kerajaan Negeri berpandangan bahawa penyediaan pembinaan asrama setempat untuk pekerja asing di kawasan perindustrian merupakan salah satu usaha yang baik dan berkesan daiam menangani masalah lambakan warga asing yang berkeliaran tanpa pemantauan. Dalam masa yang sama, usaha penempatan ini juga dapat membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan majikan dalam memantau dan mengawal pergerakan pekerja untuk mengelakkan isu-isu seperti masalah gangguan kepada penduduk setempat.

    Namun, usaha tersebut bergantung kepada beberapa faktor seperti berikut:-

    i) Pengawasan dan kawalan – memudahkan pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan berkaitan pekerja asing, serta mengurangkan masalah ketidakteraturan seperti pekerja asing yang tinggal tanpa izin atau bekerja di sektor yang tidak dibenarkan;

    ii) Kebajikan pekerja asing – menyediakan kemudahan asas kepada pekerja asing untuk memastikan keselesaan dan kesejahteraan pekerja asing;

    iii)     Keselamatan awam – penyediaan asrama yang selesa dan teratur merupakan salah satu usaha bagi mengurangkan masalah sosial seperti gangguan awam oleh pekerja asing; dan

    iv) Penyelarasan dengan majikan – kerjasama antara majikan dan Pihak Berkuasa Tempatan adalah perlu bagi memastikan pekerja asing ditempatkan di kawasan yang selamat dan memudahkan pemantauan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, PLANMalaysia telah menyediakan Garis Panduan Perancangan (GPP) Penginapan Pekerja Berpusat (Centralised Labour Quaters – CLQ) dan Prosedur Permohonan Bagi Penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek (Temporary Labour Quaters -TLQ).

    GPP ini disediakan bagi membantu Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Agensi Kerajaan, pihak pemaju, majikan, pengilang, pengendali perkhidmatan dan pengusaha penginapan pekerja untuk menyediakan asrama penginapan pekerja berpusat secara terancang, teratur dan holistik.

Lampiran

Tiada Lampiran.