Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

12) ASET KERAJAAN SELANGOR DI KUALA LUMPUR

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan semua aset dan hartanah yang dimiliki oleh Kerajaan Selangor serta anak-anak syarikatnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan apakah penjanaan keuntungan daripada aset-aset ini?

    Selepas penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1974, terdapat beberapa aset Kerajaan Negeri Selangor yang masih dikekalkan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Antara aset yang telah dikenalpasti buat masa ini adalah sebanyak 4 unit aset tak alih yang terdiri daripada bangunan pejabat/ riadah dan istana seperti berikut:

    • Kelab Sultan Sulaiman, Kg Bharu
    • Bekas Bangunan Muzium Muzik
    • Bekas Bangunan Mahkamah Perusahaan
    • Istana Selangor

    Walau bagaimanapun, terdapat bangunan Rumah Kuarters yang sebelum ini dipajakkan kepada Air Selangor (dahulu dikenali sebagai SYABAS) masih dalam pengesahan pemilikan tanah oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pengesahan pemilikan ini penting memandangkan tiada bukti persuratan pemilikan bahawa tanah tersebut adalah hakmilik Kerajaan Negeri Selangor.

    Dalam perkara yang berkaitan, sebahagian bangunan Rumah Kuarters masih diduduki oleh kakitangan Air Selangor. Manakala bangunan Kelab  Sultan Sulaiman ditadbir oleh Jawatankuasa Kelab Sultan Sulaiman. Status terkini Bangunan Mahkamah Perusahaan dan Muzium Muzik masih dalam tindakan siasatan forensik bangunan oleh pihak JKR Selangor sebelum kerja pemulihan bangunan dilaksanakan.

    Tiada sebarang pulangan kewangan kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi semua bangunan pejabat/ riadah dan istana. Manakala, penjanaan keuntungan daripada sewaan kuarters sepanjang tahun 2016 adalah sebanyak RM200,700.00 dan RM136,800.00 (bagi tempoh Januari hingga September 2017).

Lampiran

Tiada Lampiran.