Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

259) ASEAN ECONOMIC COMMUNITY (AEC)

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah persiapan Selangor dalam menjadi ASEAN Economic Community (AEC) pada 2015?

    Kerjasama antara negara ASEAN telah lama bermula sejak tahun 1967 lagi. AEC merupakan platform yang terbaik bagi Malaysia untuk mencari halatuju ekonomi pada ketika itu. Platform tersebut merupakan titik tolak perbincangan hubungan kerjasama perdagangan dan industri antara negara ASEAN. Pewujudan kerjasama yang erat adalah penting bagi negara-negara ASEAN yang kebanyakannya bermula tanpa ekonomi yang kukuh dan stabil. Kerjasama AEC melibatkan penglibatan 10 buah negara

    Sasaran ASEAN Economic Community (AEC) 2015 ialah mengurangkan jurang ekonomi negara-negara ahli, melaksanakan pembangunan ekonomi yang seimbang dan mampan serta meningkatkan kerjasama erat antara negara-negara ahli. Empat (4) halatuju dirancang bagi mencapai matlamat tersebut iaitu pusat pengeluaran tunggal (single market and production base), wilayah ekonomi berimpak tinggi (high competetive economic region), pembangunan wilayah ekonomi yang seimbang dan mampan (region of equitable economic) dan integrasi ekonomi antara wilayah secara global (a region fully integrated into global economic).

    Pada tahun 2015, AEC berhadapan dengan cabaran dalam menangani isu-isu ekonomi serantau. Ke arah persediaan AEC 2015, kerajaan telah mengadakan AEC 2015 Forum : Selangor Gateway to AEC 2015 pada 3 Disember 2013. Forum tersebut disertai oleh semua penggiat industri perdagangan dan industri, institusi perbankan, wakil negara ahli ASEAN, badan korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta ahli akademik bertujuan untuk memberi pendedahan awal berkaitan AEC 2015. Selain itu, melalui forum tersebut, perbincangan telah dibuat antara pihak swasta dan agensi kerajaan supaya pihak terlibat dapat mengupayakan diri untuk bersaing bagi mencapai halatuju AEC 2015.

     

  2. Bagaimana Selangor boleh manfaatkan AEC dalam sektor-sektor yang ada?

    Selangor merupakan penyumbang utama ekonomi Malaysia. AEC 2015 merupakan platform untuk meningkatkan lagi pasaran ekonomi domestik ke pasaran serantau melalui bidang politik, ekonomi, sosial budaya dan alam sekitar berdasarkan pelan-pelan perdagangan, perindustrian dan pelaburan. AEC 2015 akan membuka peluang pasaran perniagaan dan perdagangan pelbagai sektor- sektor penting. Antara bidang-bidang yang berpotensi bagi mewujudkan kerjasama dan perkongsian teknologi ialah bidang pertanian, perlombongan, hartanah dan perumahan, kesihatan, pelancongan, pendidikan, teknologi maklumat dan telekomunikasi, sumber tenaga, perbankan dan pembuatan.

    Menjelang tahun 2015, Negeri Selangor akan berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi mengekal dan meningkatkan momentum ekonomi negeri. Sehubungan itu, melalui AEC 2015, kerajaan dan pemain industri akan mendapat manfaat seperti berikut :

    • Membuka peluang pasaran perkhidmatan dan barangan dengan lebih luas bagi tujuan perdagangan antara wilayah ASEAN;
    • Mewujudkan ekonomi pasaran harga yang lebih kompetetif yang akan meningkatkan pengeluaran produk secara besar-besaran;
    • Pengurangan kos berdasarkan pasaran harga yang lebih kompetetif dan menguntungkan pengguna;
    • Menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sektor perkhidmatan, perindustrian, logistik serta telekomunikasi. Pewujudan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat dengan bayaran gaji yang lebih baik dan peluang untuk meningkatkan kemahiran diri. Ini akan memberikan impak sosial yang positif bagi mengurangkan jurang perbezaan antara kaya dan miskin. Peningkatan taraf hidup akan menjadikan kuasa membeli semakin baik dan seterusnya menyumbang kepada keutuhan ekonomi Negeri Selangor;
    • Peluasan pasaran ekonomi akan mewujudkan satu persekitaran yang inovasi, kreatif dan berdaya saing terhadap keperluan perkhidmatan dan produk. Situasi ini akan mewujudkan persekitaran ekonomi yang sihat di mana pemain industri akan lebih produktif dan inovatif bagi menyediakan kepelbagaian perkhidmatan dan produk bagi memenuhi keperluan pengguna;dan
    • Mewujudkan integrasi pasaran yang kukuh antara negara-negara ahli yang seterusnya memacu pertumbuhan dan perkembangan
  3. Apakah risiko yang perlu ditangani apabila wujud AEC kelak?

    Pasaran ekonomi ASEAN bersifat dinamik dan pesat membangun di dunia. AEC 2015 dijangka akan memberi prospek pertumbuhan yang besar kepada ASEAN dan dunia. Namun demikian, kebimbangan terhadap sebarang risiko yang timbul dan kesan terhadap negeri khususnya tidak dapat

    Pelaksanaan ACE 2015 dijangka akan mencatatkan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam tempoh masa lima (5) tahun. Selari dengan itu, corak demografi akan turut berubah kesan daripada kepesatan pembangunan. Penduduk berpendapatan pertengahan dijangka akan meningkat dan mengubah persekitaran pengguna. Perubahan ini mungkin akan memberi kesan terhadap corak sosial dan kepenggunaan dan seterusnya mengubah corak keperluan dan kehendak masyarakat secara keseluruhannya.

    Selain itu, perkembangan pasaran perdagangan yang luas akan menyumbang kepada pertumbuhan positif ekonomi Selangor dan memberi peluang yang besar terhadap perniagaan dan perdagangan. Ini membawa kepada perkembangan sektor keusahawanan dan perniagaan domestik ke tahap lebih tinggi. Perkembangan ini seterusnya membawa kepada permintaan terhadap kemudahan infrastruktur dan prasarana yang lebih baik bagi sebagai sokongan untuk mengukuhkan lagi aktiviti ini. Sehubungan itu, adalah menjadi cabaran yang besar kepada kerajaan bagi memenuhi perubahan corak demografi dan sosial penduduk. Kerajaan akan terus peka dengan setiap perubahan dan mengambil inisiatif secara berterusan bagi berhadapan dengan perkara ini.

    Namun demikian, di sebalik risiko-risiko tersebut, wujud pelbagai peluang besar yang terbuka luas kepada sektor korporat, syarikat dan peniaga tempatan dalam pelbagai sektor perdagangan dan perniagaan. Pihak tersebut perlu berusaha meningkatkan keupayaan diri untuk menembusi pasaran serantau yang seterusnya meningkatkan aktiviti pemerolehan merentas sempadan.

Lampiran

Tiada Lampiran.