Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
182) APLIKASI GO SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauh mana keberkesanan aplikasi GO Selangor sebagai aplikasi rasmi pelancongan Selangor?
Aplikasi Go Selangor bertindak sebagai “Marketplace” pendigitalan dan promosi produk pelancongan Negeri Selangor yang terulung bagi memudahkan para pelancong mencari maklumat dan membeli produk dengan pantas, telus dan tepat. Aplikasi Go Selangor adalah dibawah kendalian Tourism Selangor yang bekerjasama dengan sebuah syarikat teknologi Online Travel Agency (OTA) iaitu Tourplus Technology Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat yang berkemampuan dan berkredibiliti tinggi serta disokong oleh kapitalis teroka (venture capitalist) yang mempunyai latar belakang kewangan yang kukuh. Syarikat Tourplus turut disokong oleh pihak Sidec Sdn Bhd.
Aplikasi ini menawarkan portal maklumat perjalanan sehenti yang menawarkan pelancong cadangan terbaik tentang tempat penginapan, makanan untuk dicuba dan perkara yang menarik untuk dilakukan dan dilihat. Selain itu, ianya turut menawarkan:-
- Produk pelancongan & aktiviti
- Cadangan Itinerari seperti Lawatan sehari, Lawatan pelbagai hari & kereta sewa/ Airport transfer
- Profil perniagaan & ulasan
- Foto & video
- Tawaran produk daripada perniagaan seperti restoran, spa, pusat tarikan, pengusaha hotel, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta lain-lain.
Apakah yang membezakan aplikasi ini dengan aplikasi lain:-
- Aplikasi Go Selangor ini ialah aplikasi rasmi kerajaan negeri Selangor yang diperkenalkan untuk memulihkan pelancongan dan menyokong PKS di sekitar Selangor.
- Inisiatif ini bertujuan untuk membantu PKS mempercepatkan pendigitalan operasi perniagaan mereka.
- Aplikasi ini menunjukkan pemacuan pendigitalan agresif Kerajaan Negeri Selangor untuk muncul sebagai hab digital Asia Tenggara.
Faedah yang yang diperoleh oleh pelancong:-
- Mendapat maklumat perjalanan dan kempen terkini di Selangor
- Membenarkan pengguna menemui permata tersembunyi (hidden gem) yang dikongsi oleh pengembara lain
- Menemui peniaga berhampiran dan ulasan sahih daripada pelancong lain
- Mendapatkan tawaran terkini daripada peniaga/ pedagang Selangor dalam aplikasi
- Membeli produk atau perkhidmatan dalam aplikasi dan belanja di luar talian di kedai peniaga/ pedagang
- Berkongsi memori pengalaman mereka untuk menggalakkan lebih ramai orang menerokai Selangor.
-
Nyatakan jumlah kos dalam membina aplikasi GO Selangor ini?
Pelantikan Tourplus sebagai operator dan penyedia perkhidmatan teknologi dalam membangunkan aplikasi mudah alih Go Selangor tidak melibatkan kos pengendalian operasi, teknikal dan penyelenggaraan. Kos dalam membina aplikasi Go Selangor ini dibiayai sepenuhnya oleh Syarikat Tourplus Technology Sdn Bhd tanpa menggunakan sebarang kos daripada Tourism Selangor mahupun daripada Kerajaan Negeri Selangor (Kos Sifar).
Pihak Tourism Selangor dan Tourplus akan bekerjasama mempromosi dan memasarkan aplikasi mudah alih Go Selangor melalui laman sesawang selangor.travel dan tourplus.my, laman sosial media seperti Facebook, Youtube, Twitter, LinkedIn, Instagram, EDM, SMS serta saluran pengiklanan dan media massa yang dikenalpasti untuk meningkatkan jumlah muat turun serta pembelian produk melalui aplikasi mudah alih Go Selangor.