Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

146) APAKAH STATUS PEMBINAAN MUZIUM SETEM, MUZIUM TEKSTIL DAN MUZIUM SUKAN YANG TELAH DICADANGKAN PADA TAHUN 2018?

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah ianya di dalam progres dan berapa peratus setakat ini?

    Bagi pembinaan Muzium Setem, Pihak Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah pun membuat permohonan pewartaan di atas tapak tanah (LOT 10078) bagi pembinaan Muzium Setem kepada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada tahun 2018. Alhamdulillah, permohonan pewartaan ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2019 di mana Kerajaan Negeri Selangor diletakkan sebagai pemilik tanah dan PADAT bertindak sebagai caretaker apabila bangunan ini siap dibina kelak.

    Kerja-kerja pembinaan Muzium Setem telah pun bermula pada awal tahun 2020 yang telah diselaraskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor dengan peruntukkan dari Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN). Lokasi pembinaan bangunan ini berhampiran dengan Pejabat Pos Shah Alam yang mana bentuk muka buminya yang agak bercerun serta sedikit berbukit dan memerlukan penelitian yang terperinci bagi membina struktur bangunan.

    Sehingga 5 Ogos 2021, status pencapaian kewangan bagi kerja-kerja pembinaan ditapak adalah sebanyak 14.14% actual dari sasaran berjadual iaitu 19.0%. Manakala pencapaian bagi kerja-kerja fizikal pula adalah sebanyak 17% actual dari sasaran berjadual 24% setelah mengambil kira Extention of Time (EOT) No. 1 (365 hari) yang telah diberikan oleh pihak JKR Selangor. EOT ini telah diberikan kepada kontraktor utama akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia kini. Kerja-kerja pembinaan telah menerima kesan akibat arahan PKP dan kini hanya tertumpu kepada penyelenggaraan cerun dan tebing agar tidak berlaku hakisan tanah di tapak pembinaan.

    Selain itu kes jangkitan wabak COVID-19 juga telah dilaporkan telah berlaku di kawasan tapak pembinaan pada akhir bulan Julai yang lalu. Penelitian juga mendapati, terdapat kelewatan dari jadual perancangan akibat dari masalah kekurangan pekerja di tapak bina dan kenaikan harga pasaran besi telah melewatkan jadual pembinaan bangunan ini. Walau bagaimanapun pihak JKR Selangor sentiasa memantau prestasi kerja-kerja di tapak pembinaan. Mengikut jadual perancangan terkini yang telah dikemukakan oleh kontraktor utama, bangunan Muzium Setem ini akan siap dibina pada 18 Januari 2023.

    Pada masa yang sama, pihak PADAT juga sedang giat menjalankan penyelidikan mengenai sejarah filateli dan setem di Malaysia serta melakukan perolehan koleksi bagi tujuan pengisian muzium tersebut.

    Sementara itu, bagi Muzium Tekstil pula, pembinaan Muzium Tekstil Selangor telah dicadangkan di bekas bangunan Perpustakaan Awam Negeri Selangor bersebelahan Muzium Sultan Alam Shah. Tujuan penubuhan Muzium Tekstil Selangor adalah berdasarkan pandangan D.Y.M.M Sultan Selangor atas keperluan untuk negeri Selangor mempunyai sebuah Muzium Tekstil yang mempamerkan tekstil-tekstil tradisional yang berstatus tinggi seperti telepuk, cindai, songket dan juga pakaian Selangor. Muzium ini juga bertujuan untuk mengumpul, memelihara, mentafsir, dan mempamerkan tekstil yang mempunyai nilai sejarah seni, budaya, atau ilmiah yang penting untuk pendidikan dan pengetahuan masyarakat.

    Berdasarkan dari penyelidikan PADAT melalui empat (4) hasil buku yang telah diterbitkan iaitu Buku Kesenian Warisan Telepuk Selangor dan Telepuk Alam Melayu, Kebaya Selangor dan Kelingkan Selangor telah membuktikan, Negeri Selangor mempunyai warisan kesenian tekstil tradisional iaitu kesenian menghias kain melalui kain telepuk dan juga sulaman kelingkan. Sementara bagi pakaian kaum wanita adalah kebaya Selangor.

    Kerja-kerja baik pulih bangunan kini masih dalam tahap penyediaan dokumen tender oleh pihak JKR dan kerja-kerja ini dijangka akan ditawarkan pada bulan Oktober 2021. Kerja-kerja cadangan reka bentuk dan pengisian Muzium Tekstil pula akan dilaksanakan oleh PADAT. Cadangan reka bentuk dan pengisian telah disediakan oleh PADAT dan akan dipersembahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk mendapat perkenan Tuanku.
    Sementara itu, bagi cadangan penubuhan Muzium Sukan pula, cadangan pembinaan muzium ini pada awalnya juga telah diputuskan di bekas bangunan Perpustakaan Awam Negeri Selangor yang mana bangunan setinggi 6 tingkat dan berkeluasan 9,730 meter persegi ini akan menempatkan kedua-dua Muzium Sukan dan Muzium Tekstil dengan pembahagian ruang sebanyak tiga (3) tingkat sebagai Muzium Tekstil dan tiga (3) tingkat lagi sebagai Muzium Sukan.

    Namun begitu, melalui cabutan daripada keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang diadakan pada 14 Februari 2018 meminta pihak PADAT untuk meneliti dan menyelaraskan bersama Darul Ehsan Facilities Management Sdn. Bhd. (DEFM) cadangan pembangunan Muzium Sukan dengan pembangunan Stadium Shah Alam, yang juga mempunyai komponen pembangunan sukan seperti bola sepak, supaya tidak berlaku pertindihan antara keduanya.

    Dari keputusan itu, pihak PADAT telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak DEFM dan hasil perbincangan tersebut di antaranya adalah persetujuan untuk memberi ruang bagi penubuhan Muzium Sukan di bangunan Stadium Shah Alam. beberapa siri perbincangan juga turut diadakah di antara pihak PADAT dengan DEFM, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) serta 16 ahli gabungan sukan di bawah MSNS mengenai kerjasama mengenai cadangan pengisian dan pameran.

    Namun begitu, oleh kerana Stadium Shah Alam kini sedang dalam proses naik taraf yang dijangka akan selesai pada 2025, penubuhan Muzium Sukan kini ditangguhkan dahulu sehingga kerja naik taraf stadium siap sepenuhnya. Sehubungan itu peruntukan Muzium Sukan yang sebelum ini diletakkan di bawah RMKe-12 akan dibawa ke RM Ke-13.

  2. Seandainya ia di tangguhkan apakah sebabnya?

    Seperti jawapan di atas (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.