Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

315) APAKAH KAEDAH YANG DIGUNAKAN OLEH KERAJAAN NEGERI BAGI MENGUTIP CUKAI PINTU

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah keadah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri bagi mengutip cukai pintu yang baru diwar-warkan oleh YB EXCO, adakah ianya hanya tertakluk di kawasan kampung-kampung tradisi dan bagai mana pula dengan kawasan kampung baru adakah mereka juga dikenakan cukai pintu salain dari membayar tol?

    Mulai tahun 2024, Kerajaan Negeri akan memberikan pengecualian cukai taksiran secara bersasar bagi pemilik kediaman kampung termasuk Kampung Tradisi dan Kampung Baru/ Bagan/ Tersusun yang memerlukan serta berpendapatan rendah. Bagi memastikan proses ini berjalan dengan lancar, PBT akan mula menghantar cukai taksiran secara fizikal bagi kediaman kampung selewat-lewatnya pada hujung bulan Februari 2024. Pemilik kediaman kampung yang menepati syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan pengecualian cukai taksiran bermula 1 Mac sehingga 31 Mei 2024 dan keputusan permohonan boleh disemak mulai 1 September 2024.

    Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

    1. Pemilik pegangan yang mempunyai keluasan kurang dari 2,000 kaki persegi sahaja;
    2. Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di negeri Selangor;
    3. Pendapatan bulanan isi rumah adalah RM5,000.00 dan ke bawah (bagi yang telah berkahwin, ini adalah termasuk pendapatan pasangan yang bukan merupakan warganegara);
    4. Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun atau satu rumah sahaja; dan
    5. Hanya pemilik harta yang berdaftar sahaja boleh memohon.

    Sebagaimana yang dinyatakan di atas, Kampung Baru/ Bagan/ Tersusun juga termasuk dalam inisiatif pemberian pengecualian cukai taksiran secara bersasar. Manakala bayaran Lesen Pendudukan Sementara (Temporary Occupational License [TOL]) atau cukai tanah yang masih perlu dibayar adalah merupakan cukai yang dikutip oleh Pejabat Daerah dan Tanah.

Lampiran

Tiada Lampiran.