Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

147) APAKAH ENAKMEN KEBEBASAN MAKLUMAT SELANGOR 2011 (EKMS) SUDAH BOLEH DILAKSANAKAN?

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah ada peruntukan yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi 1972?

    Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 (“EKMS”) digubal bertujuan untuk meningkatkan ketelusan, integriti dan akauntabiliti perkhidmatan awam dan Kerajaan Negeri Selangor. Enakmen ini memberi hak kepada setiap individu akses yang munasabah kepada maklumat yang dikawal selia oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri bagi memastikan sistem semak imbang dan keluhuran undang-undang atau rule of law dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. EKMS ini mula berkuat kuasa pada 5 Mac 2013 melalui pemberitahuan Warta P.U. 23.

    1. EKMS memberi kuasa dan kebenaran kepada setiap jabatan Kerajaan Negeri untuk memberikan akses kepada maklumat yang berada di dalam kawalan jabatan tersebut kepada setiap individu melainkan maklumat yang dikecualikan melalui seksyen 14 EKMS iaitu:
    • Maklumat yang telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] yang jika didedahkan, akan dengan serius menjejaskan keselamatan negara atau pertahanan negara di mana dengan secara material menjejaskan kebolehan negara melindungi atau mempertahankan kewujudannya atau sempadan kawasan atau kebolehan bertindak balas terhadap penggunaan atau ancaman kekuasaan;
    • yang mengandungi maklumat yang diperoleh:
      1. daripada pihak ketiga dan menyampaikannya boleh menyebabkan satu tindakan pecah kerahsiaan yang boleh didakwa;
      2. secara rahsia daripada pihak ketiga dan ia mengandungi rahsia perniagaan atau menyampaikan mungkin, atau berkemungkinan besar boleh, menjejaskan dengan teruk kepentingan komersil atau kewangan pihak ketiga; atau
      3. secara rahsia daripada negeri atau organisasi antarabanga yang lain, dan menyampaikannya mungkin atau berkemungkinan besar boleh, menjejaskan dengan teruk hubungan dengan negeri atau organisasi antarabangsa tersebut;
    • maklumat jika sekiranya didedahkan mungkin, atau berkemungkinan besar boleh menjejaskan dengan teruk perumusan dasar yang berkesan atau pembangunan Kerajaan
    1. Walau apa pun seksyen 14 EKMS, seksyen 15 EKMS menyatakan pengecualian kepada maklumat yang boleh dikecualikan seperti berikut:

      i. Sebuah jabatan hendaklah memberikan akses kepada maklumat yang dikecualikan kepada pemohon sekiranya kepentingan awam di dalam pendedahan melebihi bahaya pendedahannya;

      ii. Kerajaan Negeri hendaklah mempunyai kuasa mendedahkan atau memberikan pendedahan maklumat yang dikecualikan atau membuang klasifikasi sulit yang diberikan kepada mana-mana maklumat atau dokumen dan membenarkan akses kepadanya di atas budi bicaranya; dan

      iii. Pegawai Maklumat boleh membenarkan akses kepada maklumat yang dikecualikan sekiranya maklumat itu diperlukan bagi penyiasatan kesalahan atau salah laku.

    2. Seksyen 15 juga menegaskan bahawa seksyen 14 tidak akan terpakai ke atas maklumat berkaitan dengan apa-apa perkara atau kejadian yang berlaku lebih dua puluh tahun yang lalu sebelum permohonan dibuat oleh pemohon selaras dengan seksyen 6. Pada masa yang sama, sekiranya terdapat maklumat yang boleh dipadamkan dan tidak bertentangan dengan seksyen 14, akses boleh diberikan kepada pemohon sekiranya maklumat yang boleh dikecualikan boleh dibuang telah dipadamkan sebagaimana yang tertulis di bawah seksyen 16 EKMS.
    3. Secara amnya EKMS merupakan undang-undang negeri yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri Selangor bagi memberi kemudahan kepada rakyat untuk mengakses maklumat-maklumat di jabatan-jabatan Kerajaan Negeri serta menunjukkan ketelusan Kerajaan Negeri dalam pentadbirannya. Segala akses maklumat yang dipohon dipertimbangkan berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan di bawah EKMS dan undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa termasuklah Akta 88 atau Akta Rahsia Rasmi 1972.
    4. Oleh itu, berdasarkan seksyen 14,seksyen 15 dan seksyen 16 EKMS, Kerajaan ini berpendapat bahawa tiada percanggahan wujud di antara EKMS dan Akta 88. Sebaliknya, kedua-dua perundangan tersebut boleh dibaca dan dikuatkuasakan secara bersama.
  2. Pernahkah EKMS itu diuji keabsahannya?

    Secara prosedurnya, menurut seksyen 9 EKMS, mana-mana pemohon yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pegawai Maklumat, cara maklumat yang dipohon dikemukakan atau berpendapat bahawa maklumat yang diberikan adalah tidak lengkap, tidak benar atau mengelirukan, tidak mendapat maklumat di dalam tempoh yang ditetapkan serta telah disalah lakukan dengan cara lain berkaitan permohonan atau akses kepada maklumat di bawah EKMS, hendaklah dalam tempoh yang ditetapkan membuat rayuan kepada Badan Maklumat Negeri terhadap keputusan tersebut.

    • Badan Maklumat Negeri merupakan suatu Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah subseksyen 17(1) EKMS bertujuan untuk mendengar rayuan di bawah seksyen 9 EKMS yang melibatkan ketidakpuasan terhadap keputusan yang dibuat oleh Pegawai Maklumat.
    • Keanggotaan Badan Maklumat Negeri Selangor terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan empat orang yang difikirkan memadai oleh Pihak Berkuasa Negeri (“PBN”) untuk menjadi ahli tambahan Badan Maklumat Negeri yang kesemuanya dilantik oleh PBN melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor selaras dengan subseksyen 17(2) EKMS.
    • Dalam mendengar sesuatu rayuan dihadapannya, Badan Maklumat Negeri Selangor hendaklah mendengar perayu dan Pegawai Maklumat, meminta Pegawai Maklumat tersebut untuk memberikan alasan bagi menyokong keputusan menafikan akses kepada maklumat, boleh memanggil dan memeriksa saksi, boleh menghendaki mana-mana orang mengikat dirinya atas sumpah untuk menyatakan yang benar, boleh memaksa pengemukaan dan penghantar serahan apa-apa dokumen yang difikirkan berkaitan atau material olehnya, boleh mengesahkan, mengubah atau mengakas perintah atau keputusan yang dirayu dan boleh membuat apa-apa perintah sama ada yang diperuntukkan atau tidak oleh EKMS.
    • Apa-apa perintah yang dikeluarkan oleh Badan Maklumat Negeri Selangor adalah muktamad tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah dan hendaklah mengikat semua pihak kepada rayuan itu atau yang terlibat dalam perkara itu dengan syarat bahawa pemohon yang tidak berpuas hati dengan keputusan Badan Maklumat Negeri Selangor boleh merayu terhadap perintah tersebut di mahkamah.
    • Sejak EKMS berkuat kuasa, Badan Maklumat Negeri Selangor yang telah bersidang pada 26 September 2023 sedang memperkemaskan tatacara prosidingnya dan telah membincangkan beberapa dokumen permohonan rayuan untuk diambil tindakan selanjutnya mengadakan pengurusan kes dan bicara pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian oleh Badan Maklumat Negeri Selangor.
    • Oleh itu, secara asasnya, tiada permohonan rayuan di bawah seksyen 9 EKMS didengar dan diputuskan oleh Badan Maklumat Negeri Selangor dan demikian itu tiada sebarang keputusan Badan Maklumat Negeri Selangor yang dicabar atau dipertikaikan untuk dirayu di mahkamah dan diuji keabsahannya.

Lampiran

Tiada Lampiran.