Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

140) ANAK YATIM

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa bilangan anak yatim dan yatim piatu di negeri Selangor akibat COVID-19 dari Januari 2020 sehingga September 2021?

    Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang mendalam terhadap rakyat Malaysia khususnya murid sekolah yang telah kehilangan ibu, bapa atau penjaga. Ramai yang telah menjadi anak yatim dan tidak kurang jua telah menjadi anak yatim piatu kerana kehilangan ibu dan bapa sekaligus.

    Dalam rekod Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,  murid sekolah di Negeri Selangor yang kini menjadi anak yatim piatu kerana kehilangan ibu dan bapa akibat Covid-19 adalah seramai 55 orang manakala yang menjadi anak yatim adalah seramai 1648 orang. Perincian  maklumat tersebut dinyatakan seperti dalam jadual di bawah.

  2. Sila nyatakan 3 DUN yang paling ramai anak yatim akibat Covid-19.

    Yang Berhormat Kampung Tungku juga bertanyakan mengenai data 3 DUN yang paling ramai mempunyai anak yatim akibat COVID-19. Walaubagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor tidak mempunyai data bilangan anak yatim atau anak yatim piatu akibat penyakit COVID-19 mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN). Jabatan Pendidikan Negeri Selangor hanya merekodkan data secara keseluruhan dan bilangan mengikut Pejabat Pendidikan Daerah di Negeri Selangor sahaja seperti yang telah saya maklumkan di atas. Antara 3 daerah yang mempunyai bilangan anak yatim tertinggi akibat Covid19 ialah daerah Hulu Langat, Klang dan Petaling Perdana.

  3. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan ini?

    Kerajaan Negeri Selangor amat perihatin dan empati dengan nasib yang menimpa kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19. Langkah sokongan kerajaan melalui JKM dalam membantu kes kanak-kanak yang memerlukan penjagaan, perlindungan dan pemeliharaan adalah seperti berikut;

     

    1. Membuat pengesanan dan menjalankan siasatan latar belakang waris dan keluarga terdekat atau mana-mana orang yang layak dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak. Sekiranya tiada waris atau tiada orang yang layak dan sesuai dikenal pasti untuk menjaga kanak-kanak, mereka akan ditempatkan sementara institusi perlindungan kanak-kanak JKM.
    2. Langkah susulan JKM bagi kes kanak-kanak yang memerlukan penempatan tetap adalah berasaskan prinsip kepentingan terbaik bagi kanak-kanak, pemeliharaan kanak-kanak berasaskan keluarga dan kemasukan ke institusi sebagai langkah terakhir. Setakat ini, semua kes anak yatim atau yatim piatu akibat Covid-19 di Selangor dijaga oleh waris terdekat masing-masing.
    3. Selain itu, sokongan sosio-emosi dan pemantauan kes kanak-kanak dan keluarga yang berisiko tinggi juga dilakukan oleh pelindung kanak-kanak dengan dibantu oleh Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah (PPKKD). Terdapat 11 PPKKD di negeri Selangor dengan keanggotaan seramai 77 orang individu sukarela iaitu purata 7 orang di setiap Daerah. Ahli PPKKD ini dipilih dari pelbagai latar belakang yang bersesuaian untuk membantu JKM dan dilantik oleh Menteri di bawah Akta kanak-kanak 2001 untuk tempoh selama tiga (3) tahun.
    4. Seterusnya, bagi kes yang memerlukan bantuan kewangan, JKM menyediakan Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Anak Pelihara (BAP) atau Bantuan Am Negeri (BA) mengikut kelayakan bantuan secara bulanan. Sehingga Oktober 2021, terdapat 4,205 kes penerima BKK dengan perbelanjaan RM14,694,700.00 dan 108 kes BAP dengan perbelanjaan RM329,250.00. Manakala, terdapat 5,261 kes BA dengan perbelanjaan sebanyak RM10,966,900.00.
    5. Dalam situasi kanak-kanak atau keluarga yang menghadapi krisis, JKM juga menawarkan sokongan psikologi dan kaunseling bagi mendengar pemasalahan klien dan mengadakan intervensi untuk mengurangkan tekanan emosi atau mendapatkan solusi yang sesuai dengan klien. Sehingga Oktober 2021, sebanyak 1737 kes sokongan psikologi dan kaunseling telah dikendalikan oleh JKM Selangor.

     

    Bilangan kes kanak-kanak yatim piatu akibat Covid 19 di Selangor yang disantuni dan menerima bantuan kebajikan adalah seramai 29 orang seperti di jadual:

    BIL DAERAH BILANGAN YATIM PIATU
    1 Klang 3
    2 Petaling 2
    3 Shah Alam 1
    4 Subang 5
    5 Sepang 4
    6 Kuala Langat 3
    7 Gombak 4
    8 Hulu Langat 2
    9 Hulu Selangor 5
      Jumlah 29

     

     

    1. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Belanjawan 2022 yang lalu juga telah mengumumkan akan melaksanakan Bantuan Anak Yatim Covid 19 dengan peruntukan sebanyak RM 1.25 juta. Bantuan kewangan ini akan memberi manfaat kepada 2500 anak yatim di seluruh negeri Selangor yang kehilangan ibu bapa akibat Covid19 dengan bantuan kewangan sejumlah RM500 seorang. Kerajaan Negeri juga akan menyelaras dengan agensi seperti Jabatan Kebajikan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta unit-unit lain bagi tujuan seperti pengurusan harta pusaka, penjagaan anak-anak serta bantuan kesihatan dan juga sokongan emosi.

Lampiran

Tiada Lampiran.