Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

149) ANAK SUNGAI UDANG

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Permasalahan isu banjir Anak Sungai Udang?

    Latar Belakang

     

    Anak Sungai Udang sepanjang 2.5 km berada dalam Lembangan Sungai Klang dan menjadi saliran utama di kawasan Selayang Baru. Hampir separuh daripada sistem saliran dalaman di kawasan Selayang Baru akan mengalir masuk ke dalam Anak Sungai Udang. Anak Sungai Udang mempunyai kawasan tadahan seluas 116 hektar dengan 95% profil pembangunan dari keseluruhan kawasan dibangunkan untuk rumah kediaman dan komersil. Ia merupakan kawasan tanah yang mendatar dan merupakan bekas kawasan lombong.

     

    Punca Kejadian

     

    Kejadian banjir kilat sering berlaku semenjak tahun 2015 di sekitar Selayang Baru terutamanya di Taman Selayang dan Taman Selayang Sejati adalah disebabkan oleh limpahan air Anak Sungai Udang dan sistem saliran dalaman di kawasan sekitarnya. Kapasiti Anak Sungai Udang sedia ada tidak mampu menampung pertambahan air larian hujan ketika kejadian hujan lebat disebabkan kelebaran dan kedalaman sungai yang tidak mencukupi. Hujan dengan keamatan 60 mm/jam akan berisiko menyebabkan kejadian banjir kilat berlaku dengan kedalaman banjir sedalam 0.3-0.5 meter. Keadaan saliran yang dipenuhi sampah sarap juga menjadi punca utama kejadian banjir kilat sering terjadi di kawasan ini. Selain itu, pembangunan yang dibina di atas rizab sungai seperti rumah, bengkel kenderaan, kedai, jambatan dan lintasan serta jajaran utiliti juga menjadi isu menyukarkan kerja-kerja untuk dilaksanakan oleh pihak Jabatan dan Agensi. Isu saliran dalaman sedang ditangani oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui kajian pelan induk sistem saliran serta pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran dalaman.

     

    Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) sedang melaksanakan kerja-kerja jangka pendek dan turut merancang pelaksanaan kerja-kerja jangka panjang bagi menyelesaikan isu banjir di kawasan tersebut. Langkah-langkah yang diambil ini telah mengurangkan kekerapan banjir di kawasan tersebut daripada lapan (8) kali setahun kepada dua (2) kali setahun pada tahun 2022.

     

    Tindakan Penyelesaian Jangka Pendek

     

    1. Pelaksanaan projek di kawasan yang tidak melibatkan pengambilan balik tanah sedang dilaksanakan seperti perincian berikut:-

     

    Bil. Perkara Catatan
    1. Tajuk Projek Kerja-Kerja Menaiktaraf Saliran Anak Sungai Udang di Taman Sri Selayang bagi Tujuan Tebatan Banjir, Mukim Batu, Daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan
    2. Kos Projek RM1,941,600.00
    3. Tarikh Mula 19 Oktober 2022
    4. Tarikh Siap 18 Oktober 2023
    5. Skop Kerja (i)     Menaiktaraf sistem saliran sepanjang 300 meter

    (ii)    Pembinaan sebuah struktur lintasan

    (iii)  Pembinaan laluan penyelenggaraan

     

    1. Selain itu, pihak JPS juga telah meningkatkan kekerapan pusingan kerja-kerja penyelenggaraan di sepanjang Anak Sungai Udang bagi memastikan aliran air sungai lebih lancar dan tidak terhalang oleh sampah sarap yang menjadi punca utama banjir di kawasan tersebut. Kerja-kerja tersebut adalah seperti berikut:-

     

    • Kerja-kerja penyelenggaraan perangkap sampah (trash screen) secara berkala dengan kekerapan seminggu sekali mengikut jadual dan sekiranya hujan lebat berlaku, pembersihan dan penyelenggaraan akan dilaksanakan dengan serta merta. Anggaran kos bagi kerja-kerja tersebut adalah sebanyak RM130,000.00.

     

    • Kerja-kerja pengorekan dan pembersihan sungai dilaksanakan dengan kekerapan dua (2) kali setahun dengan skop kerja melibatkan pengorekan kelodak dan mengeluarkan halangan dalam sungai. Anggaran kos bagi kerja-kerja tersebut adalah sebanyak RM100,000.00.

     

    1. Pembinaan rumah pam yang berkapasiti 10 cusec (ft3/s) telah dibina di kawasan Selayang Sejati bagi menangani kejadian banjir kilat di kawasan tersebut (localized area) dengan anggaran kos sebanyak RM470,000.00. Pemasangan pam ini akan dapat mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan terlibat.

    4. Tindakan penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu                 dilaksanakan bagi memastikan isu pembuangan sampah ke dalam sistem                     saliran tidak berlaku seterusnya mengurangkan risiko kepada kejadian banjir             kilat.

     

     

    Tindakan Penyelesaian Jangka Panjang

     

    Sebagai langkah jangka panjang yang akan melibatkan pengambilan balik tanah, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir Anak Sungai Udang, Daerah Gombak (Fasa 2) sebagai projek baharu tahun 2023 dengan kos projek sebanyak RM35 juta menggunakan Peruntukan Pembangunan Negeri (P13). Peruntukan tahun 2023 yang diluluskan adalah sebanyak RM300,000.00. JPS sedang dalam proses penyediaan Terma Rujukan untuk melantik perunding bagi menjalankan reka bentuk terperinci bagi projek tersebut.

     

    Skop Projek Rancangan Tebatan Banjir Anak Sungai Udang, Daerah Gombak (Fasa 2) adalah seperti berikut:-

     

    • Perunding Reka Bentuk Terperinci (termasuk Home Office Support/ Site Supervision), Perunding Mekanikal dan Elektrikal, Jurukur, Pelan Pemetaan Utiliti dan Penyiasatan Tapak

     

    • Pengambilan balik tanah

     

    • Pengalihan utiliti

     

    • Kerja-kerja menaiktaraf sungai

     

    • Pembinaan struktur tebatan banjir

     

    • Pembinaan jambatan dan lintasan

     

    • Menaiktaraf sistem saliran utama sedia ada

     

    • Road Safety Audit (RSA)

     

    • Pewartaan sungai

Lampiran

Tiada Lampiran.