Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

133) ANAK MUDA LUAR BANDAR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan kelompok anak muda luar bandar tidak tersisih dari pembangunan yang dilaksanakan?

    Soalan (a) dan (b) dijawab bersekali.

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam aspek pembangunan anak muda di Negeri Selangor termasuk menambahbaik keadaan ekonomi anak muda memandangkan populasi belia yang merangkumi separuh daripada rakyat Negeri Selangor berjumlah 6 juta.

    Ini termasuklah dalam meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan belia di kawasan luar bandar berikutan taraf hidup yang semakin meningkat. Pembangunan belia juga perlu dititikberatkan terutamanya dari segi pekerjaan dan pendapatan untuk memastikan pembangunan Negeri yang mampan.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan jika program-program seperti jobfair/ kursus dan latihan kemahiran dapat dianjurkan dalam skala kecil di lokaliti terpilih demi membantu belia-belia di kawasan luar bandar.

    Antara kaedah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mengekang penghijrahan anak muda luar bandar ke bandar dengan meningkatkan pelbagai program pembangunan ekonomi belia sebagaimana berikut:-

    i) Program Roda Darul Ehsan (RIDE)

    Inisiatif RiDE adalah usaha untuk terus membantu kumpulan ini, sekaligus menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor terkini. Subsidi sebanyak RM500.00 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada golongan anak muda melalui RiDE telah menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited, prihatin dan peka akan masalah terutamanya kepada golongan yang terjejas akibat pendemik ini.  Susulan permintaan yang tinggi terhadap permintaan ‘food delivery’ dan sebagainya, Kerajaan Negeri berharap program RIDE ini akan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja dan merancakkan lagi sektor tersebut dan juga dapat menambahkan pendapatan mereka.

    ii) Program Karnival Kerjaya – Selangor Bekerja

    Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah melaksanakan sebanyak enam (6) siri Karnival Kerjaya – Selangor Bekerja di lokasi berbeza. Penganjuran program ini merupakan platform yang menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan pekerjaan, sekaligus mengatasi kadar pengangguran di Selangor selaras dengan permintaan yang tinggi dan sambutan yang menggalakkan berikutan kadar kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik covid-19. Pada tahun ini, program ini akan dilaksanakan dalam skala yang lebih besar yang dijangka dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pencari kerja di Negeri Selangor.

    iii) Program Selangor Kerjaya

    Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga telah mengadakan satu inisiatif baharu iaitu Program Selangor Kerjaya yang bertujuan untuk membantu rakyat Selangor mencari pekerjaan. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan melalui Portal Selangor Kerjaya dengan pautan https://www.selangorkerjaya.com.my. Kemudahan Portal ini adalah diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong dan individu yang ingin mencari peluang pekerjaan, di mana mereka hanya perlu mendaftar dengan Selangor Kerjaya Portal. Melalui program ini, calon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon akan diberikan latihan – latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian selama dua belas (12) bulan.

    iv) Program IKTISASS

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dan memperkenalkan Program IKTISASS yang bertujuan untuk melahirkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia tercicir serta berkeperluan khas dan graduan dengan memberi latihan dalam bidang kemahiran teknikal dan professional seiring dengan keperluan industri semasa. Bagi tahun 2021, di bawah Program IKTISASS telah melaksanakan Program SELatih Sure – Selatih Strategik Upskilling Reskilling dengan kerjasama Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) yang dijangka boleh membantu memulihkan peluang tenaga kerja di Selangor di dalam menghadapi kemelesetan peluang pekerjaan

  2. Apakah kaedah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengekang penghijrahan anak muda luar bandar ke bandar?

Lampiran

Tiada Lampiran.