Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

152) ANAK LUAR NIKAH

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah anak luar nikah yang telah direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Negeri mengikut daerah di Negeri Selangor semenjak tahun 2020 - 2023?

    Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mempunyai rekod ke atas pendaftaran anak luar nikah.

  2. Apakah punca yang mendorong kepada anak luar nikah?

    Berdasarkan kajian Faktor dan Penyelesaian Isu Anak Tak Sah Taraf Dalam Kalangan Masyarakat Islam di Malaysia oleh pasukan pengkaji dari Universiti Sains Islam Malaysia (2020) antara faktor yang mendorong kepada kelahiran anak luar nikah seperti berikut:

    1. Keluarga

    Punca berlakunya masalah seks bebas dan kehamilan luar nikah adalah terkait dengan kegagalan suatu institusi kekeluargaan itu sendiri.

    2. Agama

    Pegangan agama yang longgar atau tidak menitikberatkan kehidupan beragama dari ibu bapa akan memberi impak secara langsung kepada anak mereka khususnya dari segi sahsiah dan jati diri.

    3. Pendidikan

    Kebanyakan remaja yang terlibat dengan seks bebas sehingga lahirnya anak tak sah taraf adalah dari golongan mereka yang mempunyai taraf pendidikan yang rendah.

    4. Rakan sebaya

    Menurut kajian, 66.96% dari remaja mengatakan bahawa mereka mempunyai kawan baik yang telah melakukan seks dan 53.97% daripada mereka mengakui bahawa kawan dan kekasih banyak mempengaruhi mereka dalam kelakuan seks mereka.

    5. Teknologi

    Berdasarkan kepada sumber Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjelaskan bahawa lebih satu pertiga (35.3%) remaja pernah terdedah dengan 60% daripada bahan lucah adalah diperoleh daripada internet.

    6. Pergaulan bebas

    Hasil kajian mendapati remaja yang terlibat dengan gejala seks bebas sehingga lahirnya anak luar nikah ini adalah mereka yang mempunyai pergaulan bebas tanpa kawalan.

     

  3. Apakah usaha kerajaan bagi membendung perkara tersebut?

    Usaha kerajaan bagi membendung perkara ini :

    1. Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak

    Kerajaan Negeri melalui JKM dan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan telah  mengadakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak Negeri Selangor 30 November 2023 di tiga (3)  buah sekolah di Daerah Sepang.  Program ini juga telah mendapat Kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.  Bagi tahun 2024, JKM akan meneruskan program ini dengan ke 30 buah sekolah di semua Daerah dalam negeri Selangor.

    Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak dalam aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak yang mana antara pengisian program ini memberi pendedahan berkaitan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat serta Klik dengan Bijak.

          2. Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Kaunseling

    Perkhidmatan ini turut disediakan kepada ibu di bawah umur atau wanita yang mengandung luar nikah. Seramai 23 orang Pegawai Psikologi di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) sentiasa bersedia untuk membantu kanak-kanak dan ahli keluarga yang traumatik.

    Remaja dan wanita yang mengandung luar nikah juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling melalui Talian Kasih 15999 bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dalam aktiviti pembuangan bayi. Talian ini beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.

            3. Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan

    Pemerkasaan institusi kekeluargaan perlu dilaksanakan antaranya melalui pemerkasaan modul kursus keibubapaan bagi memastikan tidak berlaku pengabaian terhadap anak-anak.

    Aktiviti anak-anak berkenaan dengan teknologi seperti telefon pintar dan internet perlu dipantau agar dapat menghindari mereka daripada terlibat dengan lambakan bahan pornografi dan budaya tidak baik di internet.

    Tanggungjawab bagi membendung masalah ini bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab JKM semata-mata.  Kerjasama daripada pelbagai pihak seperti agensi Kerajaan, pemegang taruh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat turut diperlukan dalam membendung isu kehamilan luar nikah.

Lampiran

Tiada Lampiran.