Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

211) ANAK-ANAK RUMAH PELINDUNGAAN DAN LUAR TARAF

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dan kemanakah nasib anak-anak yang dibesarkan dibawah rumah perlindungan selepas mencapai usia 18 tahun?

    Kanak-Kanak yang dibesarkan di rumah perlindungan atau institusi JKM akan dikembalikan kepada keluarga atau Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) berdasarkan rancangan pembebasan yang disediakan oleh Pelindung. Hal ini diputuskan dalam Persidangan Pembebasan kanak-kanak setelah tamat perintah atau selepas mencapai usia 18 tahun.

    Pihak institusi JKM mengenalpasti dan mengaturkan peluang melanjutkan pelajaran, latihan kemahiran atau peluang pekerjaan di luar institusi dalam tempoh 12 bulan sebelum pembebasan. JKM akan membantu mereka dari segi proses pendaftaran di institusi pendidikan/ kemahiran atau penempatan pekerjaan terutama bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai keluarga.

  2. Apakah persiapan yang dibekalkan bagi anak-anak ini menghadapi dunia sebenar setelah keluar dari rumah perlindungan?

    Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan Alumni Lepasan Institusi Kanak-Kanak dalam usaha mengukuhkan sistem sokongan sosial kepada kanak-kanak lepasan institusi JKM agar mereka dapat diintegrasikan dalam komuniti dengan berjaya.

    JKM juga menjalankan program Ready to Work (R2W) dengan kerjasama badan bukan kerajaan/ syarikat/ majikan dalam memastikan kanak-kanak lepasan institusi mendapat bantuan dan sokongan bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan berkualiti dan mampu berintegrasi dengan masyarakat melalui latihan persediaan pasca institusi dan pemadanan pekerjaan. Antara syarikat yang memberi peluang pekerjaan dan kemudahan asrama kepada kanak-kanak lepasan institusi JKM adalah Syarikat Otai Burger dan McDonalds. Pada tahun 2022, satu projek rintis Job Coach Penghuni Institusi Kanak-kanak dengan Belia Mahir akan dijalankan.

  3. Apakah SOP pemberian IC pada anak-anak ini?

    Pengetua/ Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah bertanggungjawab menguruskan permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang berada di institusi JKM termasuk di Rumah Tunas Harapan. Setiap permohonan, Pengetua/ Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah atau wakil adalah menjadi penganjur kepada kanak-kanak. Penganjur akan melengkapkan borang permohonan kewarganegaraan Perkara 15 A dan Borang Pengesahan Taraf Kewarganegaraan (PTW – Borang E) Perlembagaan Persekutuan dan menyediakan dokumen lain seperti berikut:

     

    • Salinan Sijil Lahir Kanak-Kanak yang disahkan;
    • Salinan SEMUA Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) atau Mahkamah yang berkaitan bagi kanak-kanak tersebut (sejak dari kemasukan kali pertama kanak-kanak di institusi JKM);
    • Salinan SEMUA Laporan Pelindung atau Laporan Sosial bagi kanak-kanak tersebut (sejak dari kemasukan kali pertama kanak-kanak di institusi JKM);
    • Kronologi Kes mengikut format yang disediakan;
    • Laporan Polis yang menyatakan bahawa kanak-kanak dijumpai (bagi kes terdampar); dan
    • Salinan MYKAD penganjur.

    Permohonan yang telah lengkap akan dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk proses pendaftaran kad pengenalan kanak-kanak dan pertimbangan taraf kewarganegaraan.

Lampiran

Tiada Lampiran.