Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

18) ALAM SEKITAR

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan telah melaksanakan kajian terperinci terhadap kesan kualiti alam sekitar di kawasan ternakan khinzir di Tanjung Sepat?

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor telah membuat pengawalan aktiviti penternakan khinzir terhadap kesan kepada alam sekitar melalui:

     

    1. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor – Kaedah-Kaedah Pelesenan Penternakan Babi (Negeri Selangor) 2012, dan

     

    • Lembaga Urus Air Selangor – Peraturan-peraturan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor)

     

    • Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor turut melaksanakan langkah-langkah berikut bagi mengawal kesan alam sekitar:-

     

    • Membuat bancian ke atas semua ladang (128 buah) sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan jumlah babi yang diternak tidak melebihi kuota yang telah ditetapkan;

     

    • Melaksanakan saringan efluen ke atas semua ladang sebanyak dua kali setahun atau lebih daripada itu ke atas ladang-ladang yang disyaki menimbulkan masalah pencemaran;

     

    • Menggalakkan semua penternak menggunakan produk efektif mikrob (EM) untuk merawat kumbahan masing-masing seperti menggunakan bebola lumpur dan larutan EMAS yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (dengan harga yang sangat murah) atau pun yang dikeluarkan oleh syarikat swasta.

     

    • Tambahan daripada itu, Satu Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) telah dilaksanakan bagi menambahbaik pengurusan penternakan khinzir di kawasan ini dengan cadangan penternakan secara moden dan berpusat di kawasan Ladang Tumbok, iaitu kawasan yang telah diwartakan sebagai Kawasan Penternakan Babi (Pig Farming Area).

     

    Melalui kajian ini, cadangan penternakan khinzir secara moden dan berpusat ini diyakini akan dapat menyelesaikan isu-isu alam sekitar seperti pencemaran bau dan air.

     

    • Terkini, Satu kajian semula sedang dilaksanakan oleh LUAS iaitu Kajian Semula Peraturan-peraturan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) yang turut merangkumi pengawalan aktiviti penternakan khinzir. Hasil kajian ini akan digunakan bagi menambah baik peraturan sedia ada seperti senarai parameter dan had piawaiannya. kajian ini sedang di peringkat draf akhir dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2016.

     

  2. Apakah langkah-langkah pro aktif kerajaan bagi mengelakkan kemusnahan pokok-pokok bakau di sepanjang pantai?

    Antara langkah-langkah pro aktif Kerajaan Negeri Selangor bagi mengelakkan kemusnahan pokok-pokok bakau di sepanjang pantai adalah melalui pelaksanaan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Coastal Management-ICM) bagi seluruh kawasan pantai di Negeri Selangor secara berperingkat mulai Julai 2007 yang diselaraskan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS). Kemusnahan habitat termasuklah pokok bakau merupakan salah satu polisi utama yang terdapat di dalam Pelan Strategi Tindakan

     

    Bagi memastikan kemusnahan pokok-pokok bakau adalah minima, maka pelbagai program penanaman semula spesis pokok bakau telah dijalankan oleh pelbagai agensi sejak pelaksanaan Pelan ICM pada tahun 2007. Program penanaman pokok bakau ini telah dianjurkan oleh pelbagai agensi dan jabatan Negeri Selangor seperti LUAS, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor serta masyarakat setempat. Selain itu, pihak LUAS turut melaksanakan pemantauan berkala di setiap lokasi program penanaman semula bagi memantau kemajuan pokok-pokok yang ditanam.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengawal pembangunan di kawasan pantai khususnya di kawasan pantai berlumpur yang dipenuhi dengan pokok-pokok bakau dengan menetapkan kawasan penampan. Di bawah subperaturan 2, Peraturan-Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013, kawasan penampan ditafsirkan sebagai sesuatu bahagian tanah bersebelahan dengan sesuatu sungai atau badan air yang direka atau ditentukan untuk berada di dalam keadaan tidak diganggu, semula jadi atau keadaan lain yang ditetapkan dengan jarak atau kelebarannya seperti yang ditetapkan dalam Jadual  Pertama. Oleh yang demikian, sebarang pembangunan di kawasan pantai

     

    khususnya di kawasan paya bakau hendaklah mengambil kira kawasan penampan ini bagi melindungi kawasan paya bakau daripada dimusnahkan.

    Kerajaan Negeri juga sentiasa memastikan bahawa semua permohonan bagi tanah-tanah kerajaan yang termasuk di dalam Seksyen 49 Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56) tidak diluluskan atau ‘summary rejection’ bagi mengelakkan kemusnahan tumbuhan pokok bakau di pesisir pantai Negeri Selangor.

     

    Tambahan daripada itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor juga telah memasang Geotube setinggi 1.8 meter menghadap laut di kawasan pesisir pantai Negeri Selangor. Kaedah ini akan mewujudkan dataran lumpur di antara Geotube dan pantai bagi membolehkan keadaan yang sesuai untuk penanaman spesis bakau. Pelaksanaan projek ini sedang giat dijalankan di Pantai Kelanang, Kuala Langat.

     

    Kerajaan Negeri juga telah mewartakan sebahagian kawasan tanah perairan di Mukim Kapar sebagai Zon Perlindungan Mukim Kapar (No. Warta 1856) di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999 pada 28 Mei 2015 (Pindaan). Melalui pewartaan kawasan tersebut, ianya dapat melindungi pokok-pokok bakau daripada dimusnahkan secara haram dengan mengawal pembangunan di kawasan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.