Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

103) ALAM SEKITAR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam mendepani perubahan iklim?

    Untuk makluman ahli-ahli Yang  Berhormat, Malaysia merupakan negara ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC). Ianya merupakan satu perjanjian alam sekitar antarabangsa dalam menangani isu-isu perubahan iklim global. Berdasarkan kepada Konvensyen ini, Malaysia perlu menangani isu-isu perubahan iklim mengikut agenda dan keutamaan pembangunan sosio-ekonomi negara. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam penyelarasan dasar dan tindakan mitigasi isu-isu berkaitan dengan perubahan iklim dana lam sekitar.

     

    Dalam usaha menanganinya, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN kini memeri fokus kepada program-program berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim seperti aktiviti penanaman pokok, galakan pemasangan produk teknologi hijau dan kempen  alam sekitar yang lain.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan dasar Perbandaran Hijau melalui Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) yang telah dilancarkan pada 2016. Kerajaan Negeri mensasarkan semua PBT di Negeri Selangor mengadaptasi LCCF menjelang tahun 2030.

  2. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membangunkan sistem amaran awal bencana yang berupaya meningkatkan pemantauan, analisis dan penyebaran maklumat?

    Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dan telah memulakan sesi libat urus bersama jabatan/agensi berkaitan bagi membangunkan sistem aplikasi untuk meningkatkan kecekapan pemantauan sesuatu bencana dalam tempoh sebelum, semasa dan selepas ianya berlaku. Kerajaan Negeri akan melaksanakan kajian bagi membangunkan sistem amaran awal bencana melalui inisiatif Smart Selangor. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri sedang merangka kaedah sistem automasi pengaktifan tubewell di Johan Setia, Klang bagi menangani isu kebakaran tanah gambut yang sering berlaku semasa musim kering pada bulan Mei sehingga September setiap tahun. Sistem ini bertujuan menyasarkan pengaktifan tubewell secara automatik apabila paras air bawah tanah berkurangan di kawasan berkenaan bagi meningkatkan tahap kelembapan tanah untuk mengurangkan atau menghindari risiko kebakaran tanah gambut.

  3. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi mengawal pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau?

    Pada masa kini, usaha-usaha sedang ditumpukan untuk melaksanakan tindakan pengurangan pelepasan Green House Gases (GHG) melalui pelbagai sektor (contohnya: tenaga, industri pemprosesan dan guna produk, sisa, pertanian, perhutanan dan guna tanah) bagi mencapai sasaran pengurangan pelepasan GHG negara di bawah Paris Agreement. Dalam masa yang sama, tindakan adaptasi bagi membina daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim juga sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri kini menfokus kepada usaha-usaha mengawal pemanasan global di peringkat negeri. Antara usaha-usaha Kerajaan Negeri adalah:

     

    • Penguatkuasaan undang-undang yang lebih proaktif dan efektif;
    • Pelaksanaan program-program tanaman hijau di bandar-bandar dan sekitar negeri Selangor;
    • Pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon (LCCF) secara menyeluruh di semua peringkat PBT;
    • Cadangan mewujudkan Blueprint Teknologi Hijau Negeri Selangor 2022 – 2026;
    • Cadangan mewujudkan Green Council Negeri Selangor yang berperanan memantau, menasihat dan meluluskan program-program berkaitan isu-isu alam sekitar dan pemanasan global.

Lampiran

Tiada Lampiran.