Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

15) ALAM SEKITAR

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan sungai-sungai utama yang terdapat di Negeri Selangor yang telah menghadapi masalah pencemaran.

    Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor menjalankan program pengawasan kualiti air
    sungai di 82 stesen ke atas tiga lembangan sungai utama di Negeri Selangor yang
    meliputi 7 sub-lembangan seperti berikut:-
    (i) Sub-Lembangan Sungai Bernam
    (ii) Sub-Lembangan Sungai Tengi
    (iii) Sub-Lembangan Sungai Selangor
    (iv) Sub-Lembangan Sungai Langat
    (v) Sub-Lembangan Sungai Sepang
    (vi) Sub-Lembangan Sungai Buloh; dan
    (vii) Sub-Lembangan Sungai Klang
    Berdasarkan Indeks Kualiti Air Negara pada tahun 2009, status keseluruhan satu (1)
    sub-lembangan sungai, iaitu Sungai Bernam dikategorikan bersih. Manakala lima (5)
    sub-lembangan, iaitu Sg. Selangor, Sg. Tengi, Sg. Langat, Sg. Sepang dan Sg.
    Klang sebagai sederhana tercemar dan satu (1) lagi sub-lembangan, iaitu Sg. Buloh
    didapati tercemar.
    Pada tahun 2009, paras kepekatan pencemar bagi parameter pepejal terampai (SS)
    di semua sungai di Negeri Selangor didapati meningkat. Peningkatan tersebut
    berpunca daripada hakisan tebing sungai dan pengorekan pasir. Sementara itu,
    paras kepekatan pencemar bagi parameter ammoniakal nitrogen (NH3-N) di Sg.
    Klang, Sg. Tengi, Sg. Sepang, Sg. Langat dan Sg. Buloh didapati meningkat yang
    mana berpunca daripada pelepasan air kumbahan tanpa rawatan atau separa
    terawat dan juga aktiviti pertanian. Bagi parameter Keperluan Oksigen Biokimia
    (BOD5) menunjukkan peningkatan di Sg. Sepang, Sg. Tengi, Sg. Selangor, Sg.
    Bernam dan Sg. Buloh manakala di Sg. Langat dan Sg. Klang didapati paras BOD5
    menurun. Paras Keperluan Oksigen Kimia (COD) direkodkan meningkat di Sg.
    Buloh, Sg. Tengi dan Sg. Selangor pada tahun 2009 manakala penurunan paras
    COD dikesan di Sg. Langat, Sg. Klang dan Sg. Sepang.

  2. Sila nyatakan tahap pencemaran yang dialami oleh sungai-sungai utama yang terdapat di Negeri Selangor.

    Sama seperti di SUB(a)

  3. Apakah langkah jangka pendek dan pandangan untuk mengatasi pencemaran tersebut ?

    Bagi mengatasi masalah pencemaran tersebut pihak Kerajaan telah mengambil
    pendekatan-pendekatan seperti berikut:
    i. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada oleh
    pelbagai agensi dalam mengawal pencemaran seperti Jabatan Alam Sekitar,
    Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Veterinar,
    Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan, Lembaga Urus Air Selangor dan
    lain-lain agensi yang berkaitan;
    ii. Pihak industri digalakkan mengguna pakai teknologi bersih bagi
    mengurangkan tahap pencemaran air dan digalakkan mengamalkan konsep
    3R (reduce, reuse and recycle). Sebagai usaha-usaha pencegahan, Jabatan
    Alam Sekitar juga akan terus bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan
    berhubung dengan penempatan industri bagi memastikan industri-industri
    yang menghasilkan beban pencemaran air yang tinggi tidak ditempatkan di
    atas takat pengambilan air minuman; dan
    iii. Mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar terutama
    kepada sektor industri, golongan pelajar dan orang awam bagi memastikan
    semua pihak terlibat mengambil bahagian dalam menjayakan usaha-usaha
    penjagaan alam sekitar.
    iv. Kerajaan Negeri Selangor juga sedang melaksanakan program pembersihan
    dan pemuliharaan Sungai Klang yang antara lainnya bertujuan untuk
    meningkatkan kualiti air Sungai Klang.

Lampiran

Tiada Lampiran.