Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

176) AKUJANJI MENTERI BESAR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perincian isi kandungan aku janji tersebut?

    Berikut merupakan perincian pada akujanji berkenaan:

    1. Memelihara dan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.
    2. Memelihara dan melindungi kesucian dan keagungan agama Islam sebagai agama negeri dan kepercayaan orang Islam dari diganggu gugat oleh mana-mana pihak pada masa yang sama menghormati hak agama lain diamalkan oleh orang bukan beragama Islam.
    3. Memelihara kedaulatan institusi Raja dan mempertahankannya dari dicemari dan dari diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
    4. Mematuhi segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh DYMM Sultan Selangor dari masa ke semasa termasuk adab dan tatatertib semasa berada di istana dan ketika istiadat rasmi istana dilangsungkan.
    5. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa yang sama kepentingan sah kaum lain sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
    6. Melaksanakan tugas dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas.
    7. Mendahulukan rakyat sebagaimana selagi mana ianya tidak menjejaskan kepentingan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negara.
    8. Memastikan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri di tahap yang tertinggi dan memelihara hubungan baik dengan kerajaan persekutuan dan juga dengan negeri-negeri lain dalam persekutuan.
    9. Memelihara jawatan yang dipegang dari dicemari dengan perlakuanperlakuan yang menyalahi undang-undang.
    10. Memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah, tolak-ansur dan kerjasama antara kaum demi menjamin kestabilan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri Selangor.
  2. Bagaimanakah pentadbiran Menteri Besar dapat menunaikan aku janji tersebut?

    Hakikatnya pentadbiran negeri sejak dari awal menerima mandat pada tahun 2008 lagi telah pun mengamalkan apa yang telah termaktub dalam akujanji tersebut. Justeru lafaz akujanji sewaktu angkat sumpah kali ini adalah simbolik pada penegasan dan komitmen kita untuk meneruskan dan memantapkan lagi budaya pentadbiran sebelum ini yang sememangnya selari dengan akujanji berkenaan.

  3. Apakah para EXCO juga terikat dengan aku janji tersebut?

    Ya, para EXCO juga terikat dengan akujanji tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.