Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
11) AKTIVITI SENI DAN KEBUDAYAAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk mempromosikan aktiviti seni dan kebudayaan tradisional di kalangan belia?
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha mempromosikan aktiviti seni dan kebudayaan tradisional kepada rakyat Selangor, termasuklah di kalangan belia melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan. Bagi tujuan tersebut, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Adat Melayu & Warisan melalui penglibatan persatuan dan pertubuhan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi lain proaktif dalam melaksanakan penganjuran acara dan aktiviti kebudayaan di pelbagai peringkat masyarakat.
Pelaksanaan program-program oleh Kerajaan Negeri di peringkat daerah memfokuskan elemen kebudayaan tradisional yang mensasarkan penglibatkan anak-anak muda dan belia untuk mengenali dan memulihara tradisi, terutamanya warisan Negeri Selangor. Antara program-program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Rentak Selangor merupakan program utama kebudayaan Kerajaan Negeri yang dilaksanakan secara tahunan. Rentak Selangor memaparkan beberapa sub-program seperti berikut:
- Pesta Rentak Selangor merupakan platform yang menampilkan seni muzik warisan dalam Negeri Selangor. Melalui Pesta Rentak Selangor, Kerajaan Negeri mempersembahkan tradisi seni budaya seperti cempuling, keroncong dan muzik orang asli di samping mengetengahkan bakat-bakat di kalangan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia yang bakal menjadi pelapis; dan
- Jelajah Rentak Selangor iaitu program yang menjemput delegasi media serta pempengaruh (influencer) menyelusuri keindahan seni budaya dan seterusnya mempromosikan program melalui platform digital media seperti PADAT TV, saluran YouTube PADAT, SelangorTV dan Gaya Travel.
- pelaksanaan program di tempat-tempat tarikan pelancongan, pusat beli belah dan tempat tumpuan ramai dilaksanakan di peringkat daerah dan komuniti; dan
- Penubuhan kumpulan kebudayaan di sekolah-sekolah yang akan menjadi pelapis bagi warisan dan tradisi.
Selain itu, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) juga berusaha mengembang dan menyebar luas kebudayaan dan warisan Selangor dengan mempromosikan aktiviti kebudayaan merangkumi penganjuran program yang disasarkan untuk golongan belia dan remaja. Antara program yang pernah dan sedang dilaksanakan ialah:
- Pertandingan Seni Warisan Cempuling (Mei 2024);
- Muzium ke Sekolah (Jun 2024);
- Bengkel Edu Kreatif Pendidikan Seni Cempuling (Jun hingga Ogos 2024);
- Bengkel Edu Kreatif Seni Tarian (Jun hingga Ogos 2024);
- Bengkel Edu Kreatif Seni Gamelan (Jun hingga Ogos 2024);
- Pertandingan Permainan Tradisional (Februari dan Mac 2024);
- Program Semarak Seni Dan Budaya (SENADA) (bermula tahun 2019 sehingga kini); dan
- Pelbagai bengkel-bengkel tarian dan kesenian yang dianjurkan sejak tahun 2019 sehingga kini.