Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
40) AKTIVITI PUBLISITI MENGENAI PERPADUAN KAUM
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Perpaduan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri Selangor ada melakukan apa-apa jenis aktiviti publisiti (seperti iklan) bagi memupuk semangat perpaduan kaum atau memupuk kesedaran tentang integrasi perkauman di bawah Negeri Selangor? Sekiranya ya, senaraikan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jawatankuasa Tetap Perpaduan telah diwujudkan pada penghujung tahun 2020 atas pertimbangan Kerajaan Negeri tentang keperluan dan kepentingan untuk Negeri Selangor mempunyai portfolio khusus berkaitan Perpaduan di negeri ini. Sejak ditubuhkan, Jawatankuasa Tetap Perpaduan telah giat melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang mampu memupuk semangat perpaduan di antara kaum tanpa mengira bangsa dan agama.
Jawatankuasa Tetap Perpaduan telah menubuhkan Majlis Perpaduan dan Integrasi Negeri Selangor (MPIS) sebagai sebuah badan penasihat berkaitan dasar-dasar dan isu-isu perpaduan.
Melalui sekretariat MPIS ini, pelbagai aktiviti dan program telah dilaksanakan pada tahun 2021 antaranya seperti penganjuran pertandingan foto dan pantun sempena Hari Kemerdekaan, sesi Chit Chat #KitaKanSelangor di platform Clubhouse, program forum di platform Facebook Live dan juga Twitter Space, pelaksanaan Sidang Perpaduan #KitaKanSelangor secara dalam talian, program webinar bersempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia 2021, Seminar Dialog Antara Agama dan pelbagai lagi.
Bagi setiap program yang dijalankan, aktiviti publisiti dilakukan melalui pelbagai medium seperti sebaran emel, iklan berbayar melalui Facebook (Facebook Ads), sebaran poster program, video promosi program dan juga melalui jemputan khusus kepada golongan sasar. Selain itu melalui laman Facebook MPIS turut disebarkan poster-poster ‘trivia’ berkaitan perayaan-perayaan yang disambut oleh pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Memandangkan pada tahun 2021, negara kita berhadapan dengan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang agak lama, maka kebanyakan program dan aktiviti publisiti dilakukan secara atas talian.
Bagi tahun 2022, aktiviti-aktiviti publisiti bagi memupuk semangat perpaduan akan ditingkatkan lagi melalui cadangan penganjuran beberapa pertandingan video pendek dan siri animasi komik, mempelbagaikan poster dan risalah digital, melantik Duta Perpaduan Selangor, menggerakkan Skuad Perpaduan Selangor di peringkat komuniti, menggunakan billboard untuk kempen perpaduan dan meneruskan kesinambungan sesi Chit Chat di Clubhouse dan sembang kopi di saluran FB Live.
Selain itu, melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Selangor turut melaksanakan beberapa program dan aktiviti melalui Kelab Rukun Tertangga (KRT) seperti Program Skim Rondaan Sukarela (SRS), Program Sekretariat Rukun Tetangga (SRN) dan lain-lain yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan berikutan publisiti yang dilaksanakan dengan meluas melalui platform seperti televisyen dan radio, cetakan, digital news, billboard, pameran dan juga melalui medium media sosial.
Selain di media tersebut, usaha yang lebih rancak turut dijalankan dalam program bersemuka atau turun padang Jentera Perpaduan dengan masyarakat di seluruh negeri Selangor. Jentera Perpaduan terdiri daripada staff JPNIN Selangor, warga Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela, Tabika Perpaduan, Taska Genius Perpaduan, Mediator Komuniti dan sebagainya. Sebanyak 13,890 jumlah aktiviti Jentera Perpaduan seluruh Selangor 2021 telah dilaksanakan dengan tujuan mempromosi perpaduan melalui aktiviti kemasyarakatan.