Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

221) AKTIVITI KEBUDAYAAN KAUM CINA DAN INDIA

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempromosikan aktiviti kebudayaan kaum Cina dan kaum India sebagai produk pelancongan?

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor sememangnya mempromosikan aktiviti yang berunsurkan kebudayaan daripada kaum Cina dan India sebagai produk pelancongan yang menarik pelancong domestik serta antarabangsa. Antara usaha yang berterusan dalam mempromosikan aktiviti dan produk tersebut adalah seperti yang berikut:

    • Acara Pelancongan dan Acara Rasmi Kerajaan Negeri Selangor. Antara acara yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor yang mempromosikan aktiviti kebudayaan kaum Cina dan India sebagai produk pelancongan adalah seperti yang berikut:
    • Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor, Kaum Cina
    • Pesta Tanglung Peringkat Negeri Selangor, Kaum Cina
    • Sambutan Cap Goh Meh, Kaum Cina
    • Largest Gathering of Dancing Dragons, Kaum Cina
    • Malaysia Lion Dance Championship, Kaum Cina
    • Sambutan Thaipusam Peringkat Negeri Selangor, Kaum India
    • Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor, Kaum India
    • Sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor, Kaum India

     

    2)      Program Siri Promosi dalam negeri dan luar negara oleh Tourism Selangor.

    Tourism Selangor juga menyertai pelbagai siri pelancongan dalam dan luar negara yang bertujuan untuk mengadakan promosi terhadap produk, destinasi pelancongan yang mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India. Antara produk pelancongan yang dipromosikan ialah Dong Zen Tample, Batu Caves, Sri Subramaniar Swamy Temple dan Tian Hock Tample. Selain itu, untuk pengisian di booth pameran, Tourism Selangor

    mengadakan aktiviti yang berunsurkan kebudayaan seperti jemputan tarian kebudayaan, muzik tradisi, lukisan henna, jualan barangan perhiasan tradisi dan sebagainya.

  2. Apakah perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri terhadap aktiviti kebudayaan tersebut?

    Bagi perancangan jangka panjang, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor merancang pelbagai kaedah dalam mempromosikan aktiviti kebudayaan tersebut melalui kaedah yang berikut:

     

    1)      Kalendar Acara dan Direktori Pelancongan.

    Informasi dan senarai acara yang mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India telah dimasukkan di dalam kalendar acara dan direktori pelancongan Negeri Selangor (Selangor Breakaway) dan diberikan kepada pelancong, pihak media, agensi pelancongan, penggiat industri pelancongan, dan orang awam semasa siri promosi dalam dan luar negara.

     

    2)      Pengiklanan Melalui Media Cetak.

    Editorial dan artikel berkenaan dengan aktiviti dan acara tersebut akan diwar-warkan di majalah serta akhbar untuk memberikan informasi kepada pembaca mengikut sasaran pasaran.

     

    3)      Promosi Melalui Media Sosial dan Media Elektronik.

    Media sosial dan laman web merupakan kaedah yang mudah untuk menyampaikan informasi berkenaan aktiviti kebudayaan kaum Cina dan India khususnya yang ada di Negeri Selangor.

     

    4)      Acara Bersama Media Dan FAM Trip Bersama Agensi Pelancongan Dalam Negara dan Luar Negara.

    Tourism Selangor juga menganjurkan beberapa siri lawatan FAM Trip bersama pihak media dan agensi pelancongan dalam negara dan peringkat antarabangsa pada sepanjang tahun. Antara program lawatan yang disusun adalah melawat tempat-tempat yang menarik seperti Batu Caves dan Dong Zen Tample yang sememangnya mempromosikan budaya kaum Cina dan India.

Lampiran

Tiada Lampiran.