Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
204) AKTIVITI EKONOMI UTAMA NASIONAL (NKEA) DI SELANGOR
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Aktiviti Ekonomi Utama Nasional yang akan dijalankan di Selangor? Nyatakan bajet yang diperuntukkan baginya
Aktiviti atau Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) adalah program-program yang dirancang untuk dilaksanakan dalam usaha mentransformasikan Ekonomi (Economic Transformation Programme) bagi memesatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-Sepuluh (RMKe-10). Konsep NKEA juga boleh ditakrif sebagai pemacu aktiviti ekonomi yang berpotensi menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Bidang Ekonomi Utama Negara telah memilih 12 bidang atau aktiviti utama yang berpotensi berdasarkan kriteria sumbangan sektor tersebut untuk mencapai pendapatan tinggi, kemampuan dan keterangkuman. NKEA ini adalah sebahagian dari usaha mentransformasikan Malaysia menjadi negara ekonomi berpendapatan tinggi dan maju.
Salah satu NKEA yang bakal dijalankan di negeri Selangor adalah Greater Kuala Lumpur (Greater KL) iaitu satu projek yang merangkumi ibu negara Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk menjadikan kawasan ini pusat pertumbuhan nasional dan gerbang ke arah membangunkan ekonomi global dengan kekuatan populasi kosmopolitan dan infrastruktur bertaraf dunia. Inisiatif utama yang telah dikenal pasti di dalam pelaksanaan Greater KL ini adalah dengan melaksanakan bidang keberhasilan utama negara (NKRA) bagi mengatasi isu memerangi jenayah dan menambah baik pengangkutan awam
-
Apakah rancangan pembangunan The Greater KL yang melibatkan sebahagian besar kawasan perbandaran di Selangor seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Ampang Jaya dan Shah Alam?
Rancangan-rancangan yang telah diatur dan sedang dalam pelaksanaan adalah seperti berikut:
- Menarik minat lebih 100 syarikat multi-nasional (MNCs) untuk melabur di dalam kawasan Lembah Klang yang akan membawa pendapatan kasar negara (GNI) sebanyak RM 40 bilion menjelang tahun 2020.
- Meningkatkan populasi penduduk di Kuala Lumpur / Lembah Klang kepada 10 bilion orang menjelang tahun 2020 untuk memenuhi keperluan pekerjaan seterusnya menyumbang pendapatan kasar negara sebanyak RM120 bilion.
- Membina Sistem Kereta api Aliran Berkelajuan Tinggi tanpa henti yang akan merentasi Kuala Lumpur / Lembah Klang terus ke Singapura. Perkhidmatan yang sama diwujudkan antara-bandar (intercity) di mana bandar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah dicadangkan sebagai stesen antara-bandar tersebut.
- Mengadakan kerjasama dengan sektor swasta untuk projek pembangunan integrasi Sistem Aliran Sederhana (MRT) yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
- Menjadikan Sungai Klang sebagai satu mercu tanda unik yang mampu memberi pelbagai bentuk pulangan kepada penduduk Kuala Lumpur / Lembah Klang dan Malaysia secara amnya.
- Menjadikan dan memastikan Kuala Lumpur / Lembah Klang sebagai destinasi “ Green KL” dengan tiga langkah utama iaitu dengan mempromosikan pembangunan hijau semula, menambahkan kehijauan di dalam bangunan, serta membina konsep ‘taman hijau’ kepada laluan pejalan kaki di sekitar kawasan Kuala Lumpur / Lembah Klang dan menambah baik taman-taman rekreasi.
- Kuala Lumpur / Lembah Klang perlu mengiktiraf Greater KL / KV sebagai satu ikon pembangunan yang unik dan bertaraf dunia dengan bangunan/ mercu tanda bersejarah sedia ada atau dengan melakukan pembangunan berskala besar kawasan perbandaran.
- Menjadikan Kuala Lumpur / Lembah Klang sebagai penghubung laluan pejalan kaki yang komprehensif dan berdaya saing antara kawasan.
- Mengatasi masalah sisa pepejal buangan yang berlaku di pusat bandar Kuala Lumpur serta Lembah Klang dengan lebih praktikal dengan mengambil kira faktor persekitaran dan sekeliling.
Dalam melaksanakan rancangan dan program tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah dijemput menganggotai Jawatankuasa pemandu ( Steering Committee ) Greater KL di mana melibatkan keanggotaan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor serta YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.