Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
150) AKTIVITI EKONOMI BERASASKAN BELIA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menggiatkan lagi aktiviti ekonomi berasaskan belia di dalam negeri Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan penglibatan belia dalam pertumbuhan ekonomi di Selangor. Melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) kerajaan memperuntukan RM2 Juta setiap tahun bagi merancakkan ‘gig-economy’ yang rata-rata diceburi oleh golongan belia. Peruntukan ini merupakan insentif one-offbernilai RM500 tunai dan RM50 caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada p-hailing rider yang berdaftar dengan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang diselia oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS). Selain itu, kerajaan memperkenalkan Program Bantuan Anak Istimewa Selangor (ANIS) iaitu Program Independent Living Support Centre (ILSC) yang memperkasa kemahiran pekerjaan belia OKU. Melalui inisiatif ini, pekerja belia OKU mendapat tempat kerja dalam industri dan menyumbang kepada ekonomi.
Selain itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Klinik Usahawan Mikro bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor melalui Seksyen Sektoral telah bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan. Setiap tahun program latihan dijalankan oleh UPEN dan juga kerjasama bersama agensi. Latihan tersebut adalah seperti kursus kewangan, latihan pembangunan penjaja mikro dan latihan pembangunan usahawan. Kebanyakkan latihan dijalankan oleh agensi-agensi dan PBT seperti INSKEN, KOHIJRAH, PKNS BIZPOINT dan lain –lain.
-
Sila nyatakan geran-geran/bantuan-bantuan ekonomi yang dikhususkan untuk golongan belia Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat di Negeri Selangor meningkat ekonomi diri, keluarga dan komuniti setempat. Majoriti geran dan bantuan dana ekonomi membuka ruang kepada golongan belia untuk memohon dan menyertai inisiatif-inisiatif yang disediakan. Antaranya;
- Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)
- Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
- Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor (SITHAM)
- Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor
- Skim Zero to Hero
- Skim Niaga Darul Ehsan (NADI)
- Skim Pembiayaan Digitalisasi (GO Digital)
- Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC)
- Liga Usahawan OKU Selangor – SAY LEAD
- Liga Usahawan Eksport Selangor – SAY ASPIRE