Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
87) AKTA RAHSIA RASMI – OFFICIAL SECRETS ACT (OSA)
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Edward Lee Poh Lin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Pihak atau parti yang manakah dalam kerajaan, boleh mengumumkan mana-mana dokumen rasmi sama ada di negeri, kerajaan tempatan atau peringkat 'government linked companies' (GLC) sebagai rahsia atau untuk mengklasifikasikan mereka sebagai sesuai untuk tatapan khalayak; dan adakah pemerintah ini sama bagi semua pihak berkuasa tempatan (PBT)?
Akta Rahsia Rasmi1972 [Akta 88] memberikan definisi perkataan “rahsia rasmi” sebagai “apa-apa suratan yang dinyatakan di dalam Jadual dan apa-apa maklumat atau bahan yang berhubung dengannya dan termasuklah apa-apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh dikelaskan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia”, “Sulit” atau “Terhad”, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau mana-mana pegawai awam yang dilantik di bawah seksyen 2B”
Seksyen 2B Akta 88 memperuntukkan kuasa kepada Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri untuk melantik mana-mana pegawai awam melalui suatu perakuan di bawah tandatangannya untuk mengkelaskan (classify) apa-apa suratan rasmi, maklumat atau bahan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia”, “Sulit”, “Terhad”, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Manakala seksyen 2C Akta 88 pula memperuntukkan kuasa kepada Menteri atau pegawai awam yang dipertanggungjawabkan dengan apa-apa tanggungjawab tentang mana-mana Kementerian, Jabatan atau mana-mana perkhidmatan awam atau Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau ketua pentadbiran yang menjaga hal ehwal pentadbiran sesuatu Negeri untuk, pada bila-bila masa, mengkelaskan semula (declassify) apa-apa suratan yang dinyatakan di dalam Jadual atau apa-apa suratan rasmi, maklumat atau bahan sebagaimana yang telah dikelaskan. Selepas pengkelasan semula itu, suratan, maklumat dan bahan tersebut adalah terhenti menjadi rahsia rasmi.
Oleh yang demikian, mengikut Akta 88, bagi peringkat Negeri Selangor hanya Menteri Besar Selangor atau ketua pegawai yang menjaga hal ehwal pentadbiran Negeri Selangor iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang boleh mengkelaskan semula mana-mana dokumen rahsia sebagai tidak lagi rahsia dan sesuai untuk tatapan khalayak.
Walau apa pun, bagi memastikan proses pengkelasan semula ini dilakukan dengan alasan yang konsisten, Kerajaan Negeri Selangor melalui Surat Pekeliling SUK Bil. 3 Tahun 2008 telah mengeluarkan satu “Garis Panduan Mengenai Pelepasan Dokumen / Maklumat / Perkara Terperingkat (yang telah dikelaskan sebagai Rahsia Rasmi) untuk Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Selangor”. Garis panduan ini disediakan dengan merujuk kepada dua (2) sumber iaitu-
- Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88]; dan
- Arahan Keselamatan.
-
Perkara apakah, berhubung kandungan, adalah diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi / 'official secret' di negeri, PBT dan peringkat GLC, dan bagaimanakah boleh kita menjustifikasikan penggunaan rahsia rasmi, apabila ia dengan jelas dinyatakan dalam Akta Kerajaan Tempatan bawah Seksyen 27, bahawa semua minit-minit mesyuarat penuh boleh diakses atau diteliti oleh orang awam?
Secara umumnya, di peringkat Negeri, Jadual kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] memperuntukkan bahawa semua “dokumen, rekod keputusan dan penimbang telitian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk dokumen, rekod keputusan dan penimbang telitian jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri” sebagai rahsia rasmi. Jadual tersebut juga memperuntukkan bahawa segala “dokumen berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan dan perhubungan antarabangsa” sebagai rahsia rasmi. Selain daripada itu, Akta 88 tidak menyebutkan dengan khusus perkara yang boleh dikelaskan sebagai rahsia rasmi. Ia adalah terpulang kepada budi bicara Menteri Besar dan pegawai yang telah dilantik oleh Menteri Besar di bawah seksyen 2B Akta 88. Ia hendaklah diasaskan kepada kepentingan awam ataupun keselamatan Negara / Negeri.
Penggunaan Akta 88 boleh dijustifikasikan walaupun seksyen 27 Akta Kerajaan Tempatan 1976 memperuntukkan bahawa semua minit-minit mesyuarat penuh boleh diakses atau diteliti oleh awam. Ini adalah kerana seksyen 27 tersebut tidaklah memberikan kebenaran akses secara total. Terdapat syarat yang diperuntukkan di akhir seksyen 27 tersebut yang menyatakan bahawa “dengan syarat minit perjalanan manamana Jawatankuasa tidak boleh terbuka untuk diperiksa oleh seseorang pembayar kadar melainkan jika Pihak Berkuasa Tempatan itu mengarahkan sebaliknya”. Ini bermakna, Pihak Berkuasa Tempatan boleh menyatakan bahawa minit perjalanan mana-mana Jawatankuasa tidak boleh terbuka untuk diperiksa atas dasar kepentingan awam ataupun keselamatan Negara / Negeri.
-
Apakah pendirian Kerajaan Negeri Selangor ke atas isu Akta Rahsia Rasmi (OSA)?
Kerajaan Negeri Selangor telah umumkan pada 19 Mei 2009 sempena Hari Kebebasan
Akhbar Dunia untuk perkenalkan Enakmen Kebebasan Maklumat menjelang akhir 2009. Ini kerana Kerajaan Negeri merasakan enakmen itu penting untuk mengatasi maklumat dan mengatasi halangan-halangan yang ada di dalam Akta Rahsia Rasmi. Kerajaan Negeri percaya akses kepada maklumat adalah penting dalam melahirkan masyarakat yang demokratik dan progresif.