Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

103) AKTA PENGURUSAN SISA PEPEJAL DAN PEMBERSIHAN AWAM 2007

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah ciri-ciri istimewa Akta 672 ini dan kelebihan Akta ini dalam mengekang tapak pembuangan sisa pepejal haram dan bagaimanakah KDEBWM boleh memainkan peranan yang lebih besar di bawah akta ini sekiranya ianya diperakui PBT di Selangor?

    Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam atau lebih dikenali sebagai Akta 672 telah digubal dan diwartakan di peringkat persekutuan pada tahun 2007. Akta 672 ini bermatlamat untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara-perkara yang berhubungan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

    Sekiranya berlaku pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Akta 672 (Penalti serta jumlah denda yang dikenakan) adalah lebih tinggi dari peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan ini boleh menjadi salah satu faktor yang membantu mengekang perbuatan pembuangan sampah secara haram di tempat yang tidak sepatutnya.

    Berikut adalah kadar penalti/ denda bagi kesalahan membuang sampah di antara Akta 672 dan Akta 171.

    Peruntukan Kadar Denda

     

    Akta 672 tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit dan tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
    Akta 171 tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

     

    Di bawah Akta 672 , terdapat  hanya tiga (3) syarikat konsesi utama yang telah dilantik mengikut wilayah seperti berikut:

    Wilayah Syarikat Konsesi
    Utara Environment Idaman Sdn. Bhd.
    Tengah Alam Flora Sdn. Bhd.
    Selatan SWM Environment Sdn. Bhd.

     

    Pada masa ini, semua PBT Negeri Selangor menguatkuasakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam menggunakan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 berdasarkan punca kuasa di bawah Akta 171 disebabkan Kerajaan Negeri Selangor merupakan antara beberapa negeri yang tidak menerima pakai Akta 672.

     

    KDEB Waste Management hanya boleh berperanan sekiranya dilantik sebagai syarikat konsesi keempat oleh Kerajaan Persekutuan khusus untuk melaksanakan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Selangor.  Walau bagaimanapun, terdapat peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan yang telah menetapkan bahawa tiada lagi syarikat konsesi baru boleh dilantik selain daripada tiga (3) syarikat konsesi sedia ada.

     

    Jika Kerajaan Negeri menandatangani Akta 672, Kerajaan Negeri akan memberikan kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan bagi perkara-perkara yang berhubungan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

     

    Dari sudut positif, sekiranya Akta 672 ini diperakui, Kerajaan Negeri akan mendapat subsidi dari Kerajaan Persekutuan untuk menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.  Dengan peruntukan yang lebih besar, sudah pasti pelbagai penambahbaikan khususnya dari sudut logistik dan tenaga kerja dapat dilakukan dan ini sekali gus dapat meningkatkan lagi kualiti serta mutu perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada rakyat negeri Selangor.

     

    Walau bagaimanapun, secara kontranya, Kerajaan Negeri tidak lagi mempunyai kuasa eksekutif terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan seterusnya memberi kesan langsung kepada polisi sedia ada termasuk operasi KDEB Waste Management.

Lampiran

Tiada Lampiran.