Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
76) AKTA 672
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status terkini terhadap penerimaan pakai Akta 672 oleh Kerajaan Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri telah mengemukakan Surat Niat pada 20 Mac 2024 kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) oleh Negeri Selangor. Susulan itu, pelaksanaan kajian awalan dan proses due diligence bagi pemakaian Akta 672 telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama-sama dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. dari 12 November 2024 hingga 6 Februari 2024. Data dan maklumat yang telah diperolehi sepanjang kajian awalan ini dalam tindakan, semakan dan penelitian lanjut oleh pihak JPSPN dan SWCorp.
-
Nyatakan kelebihan Kerajaan Selangor mengguna pakai AKTA 672 dan kelemahannya.
Kelebihan dan kelemahan pemakaian Akta 672 oleh Negeri Selangor adalah seperti berikut:
Kelebihan
- Penguatkuasaan Undang-Undang yang Lebih Ketat
Denda dan tindakan yang lebih berat dikenakan kepada pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) berbanding Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang digunakan oleh PBT ketika ini. Sebagai contoh, di bawah Akta 672, hukuman ke atas kesalahan membuang sisa pepejal di tempat yang tidak dibenarkan, adalah denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya. Manakala, di bawah Akta 171, hukuman membuang sampah merata-rata adalah denda maksimum RM1,000 atau tambahan RM100 sehari jika kesalahan berterusan.
- Pengurusan yang Lebih Sistematik dan Seragam
Penyeragaman pelaksanaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Selangor. Ketika ini, terdapat perbezaan dari segi pelaksanaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di setiap PBT mengikut keperluan dan kemampuan kewangan.
- Program Pengasingan Sisa Yang Lebih Sistematik
Di bawah Akta 672, terdapat klausa yang jelas mengenai pelaksanaan program pengasingan sisa. Di bawah Akta 672, pengasingan sisa di punca (separation at source) adalah wajib dan penalti boleh dikenakan kepada pihak yang gagal mematuhinya. Ini adalah berbeza dengan dasar di bawah Akta 171 di mana tiada peruntukan khusus yang mewajibkan pengasingan sisa di punca.
- Peningkatan Kos Ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan
Peningkatan kos bagi pengurusan sisa pepejal akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan. Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga akan menanggung kos bagi penyediaan aset bagi pengurusan sisa seperti penyediaan dan penggantian tong sampah serta penyelenggaraan kenderaan kutipan sisa pepejal.
- Pengurusan Pemulihan dan Penguatkuasaan Tapak Sampah Haram oleh Kerajaan Persekutuan
Kos pemulihan dan penguatkuasaan ke atas tapak sampah haram akan dilaksanakan dan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.
Kelemahan
- Pihak Berkuasa Tempatan Kehilangan Kuasa Autonomi
PBT akan kehilangan kuasa autonomi bagi menguruskan sisa pepejal setelah pengambilalihan oleh Kerajaan Persekutuan. Hal ini akan menghalang PBT daripada melaksanakan program dan strategi yang lebih relevan dan sesuai dengan keadaan serta keperluan unik komuniti setempat.
- Sumbangan kepada SWCorp Bersifat Mandatori
Kewajipan untuk membuat sumbangan mandatori kepada SWCorp memberi kesan kepada pengurusan kewangan PBT, di mana PBT akan dikenakan caj sekiranya lewat membuat sumbangan.
- Keperluan yang Berbeza bagi Setiap PBT
Setiap kawasan mempunyai keperluan pengurusan sisa pepejal yang berbeza. Justeru, pendekatan penyeragaman di bawah Akta 672 berkemungkinan tidak efektif untuk mengurus sisa pepejal di negeri ini.
- Pembatalan Kontrak Sedia Ada
Semua perjanjian sedia ada perlu dibatalkan dan Kerajaan Negeri serta PBT mungkin terpaksa menanggung ganti rugi ke atas pembatalan kontrak-kontrak tersebut.
- Pemilihan Syarikat Konsesi Secara Tender
Tiada jaminan pemilihan syarikat konsesi dari anak syarikat Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pengurusan sisa pepejal di Negeri Selangor kerana pemilihan konsesi adalah secara tender terbuka. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah memaklumkan hasrat kepada Kerajaan Persekutuan supaya KDEB Waste Management Sdn. Bhd. terus melaksanakan tugas menguruskan sisa pepejal di Negeri Selangor.
-
Bagaimana penyertaan di bawah Akta 672 oleh Kerajaan Selangor dapat membantu pengurusan sisa pepejal di negeri ini secara holistik?
Pemakaian Akta 672 oleh Kerajaan Negeri Selangor dapat membantu pengurusan sisa pepejal secara holistik melalui pendekatan seperti berikut:
i. Pengurusan sisa yang lebih teratur dan sistematik termasuk melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta. ii. Penyediaan infrastrutur dan fasiliti yang menyeluruh seperti tong sampah, pusat pengumpulan dan stesen pemindahan sisa pepejal. iii. Pelaksanaan program pendidikan dan kempen kesedaran awam yang lebih komprehensif mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal yang berkesan dan amalan kitar semula. iv. Penguatkuasaan undang-undang termasuk mengenakan denda dan tindakan yang lebih berat kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran peruntukan perundangan di bawah akta tersebut. v. Pendanaan daripada Kerajaan Persekutuan akan membantu PBT dalam menangani peningkatan kos pengurusan sisa pepejal dalam jangka masa panjang.