Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

207) AKTA 672

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini terhadap penerimaan pakai Akta 672 oleh Kerajaan Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor bersetuju supaya diadakan sesi rundingan dan libat urus dengan pihak Kerajaan Persekutuan berhubung dengan cadangan pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan Surat Niat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 20 Mac 2024 bagi menyatakan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

    Mesyuarat Permulaan Bagi Pelaksanaan Kajian dan Proses Due Diligence Bagi Pemakaian Akta 6729 telah diadakan pada 17 April 2024 dan disusuli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berhubung Pelaksanaan Kajian dan Proses Due Diligence Bagi Pemakaian Akta 672 Bil 1/2024 pada 16 Mei 2024 di Ibu Pejabat SWCorp, Cyberjaya.

    Dalam kedua-dua mesyuarat ini, pihak Kerajaan Negeri telah membangkitkan beberapa isu yang perlu diperhalusi oleh pihak SWCorp/ JPSPN/ KPKT. SWCorp juga akan ke setiap PBT bagi membuat pengesahan dan penerangan ke atas data dan maklumat yang diperlukan. Terkini, satu taklimat telah diadakan pada 19 Jun 2024 bagi memberi pencerahan berkenaan Akta 672 dan Akta 673 di setiap PBT namun masih terdapat banyak isu yang akan dibincangkan dalam siri Mesyuarat Jawatankuasa  Pelaksanaan Kajian dan Proses Due Diligence Bagi Pemakaian Akta 672 yang akan datang.

  2. Apakah kelebihan yang dijangkakan sebaik sahaja penerimaan pakai Akta 672 dikuatkuasakan di Selangor?

    Antara kelebihan yang dijangkakan akan diterima adalah Kerajaan Persekutuan akan membayar perbezaan kadar harga kutipan sisa supaya selari dengan kadar harga kutipan sisa di peringkat persekutuan yang lebih tinggi, seperti contoh, RM7/rumah di Selangor berbanding RM14/rumah di peringkat persekutuan, menaik taraf jentera dan fasiliti yang digunakan untuk pengurusan sisa, serta menangani masalah sampah haram di Negeri Selangor.

     

    Namun perkara ini akan diteliti dengan sebaiknya supaya tidak menjejaskan apa-apa kepentingan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor terutamanya kelebihan yang dijamin di bawah pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sedia ada yang sedang dilaksanakan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.