Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

242) AKSES SISTEM INISIATIF KERAJAAN SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Rakyat kerap menghubungi pihak ADN pembangkang berkaitan Program Inisiatif Kerajaan Selangor seperti BINGKAS, Baucer Warga Emas kerana wakil kerajaan seperti penghulu dan penyelaras tidak dapat dihubungi atau main tarik tali. Bolehkah ADN Pembangkang diberikan akses untuk sistem tersebut?

    Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) untuk memberikan sokongan kepada keluarga keluarga pasca-pendemik dan meluaskan manfaat kepada 30,000 keluarga dengan kadar RM300 sebulan dengan cara dikreditkan terus melalui e-wallet BINGKAS dalam aplikasi Selangkah untuk keperluan asas dan alat pendidikan. BINGKAS bertujuan meningkatkan kestabilan kewangan, mengurangkan cabaran ekonomi dan memperkukuh keharmonian keluarga serta kemakmuran di Selangor.

    Setiap permohonan yang telah diluluskan adalah layak untuk menerima manfaat BINGKAS selama 2 tahun. Kemaskini akaun perlu dilakukan pada tahun berikutnya. Penerima sedia ada yang hampir mencapai tempoh matang 2 tahun sejak manfaat diterima akan mendapat notifikasi pada bulan ke 22. Penerima diberi tempoh 2 bulan untukmembuat kemaskini maklumat. Semakan kelayakan tertakluk syarat baru yang ditetapkan. Semakan boleh dibuat melalui aplikasi Selangkah atau laman sesawang rasmi BINGKAS atau di Pejabat Khidmat Masyarakat.

    Justeru, melalui Selangkah akses kepada sistem inisiatif kerajaan secara umumnya adalah mudah untuk capaian rakyat. Fasiliti ini, sepatutnya tidak timbul soal wakil kerajaan seperti Penghulu dan Penyelaras tidak dapat dihubungi atau main tarik tali. Wakil wakil kerajaan boleh memberi panduan dan penerangan secara jelas kepada rakyat bagi membantu mereka kepada capaian sistem inisiatif kerajaan. ADUN Pembangkang juga boleh berperanan memberi penerangan yang sama dan tidak ada halangan untuk berbuat demikian. Oleh yang demikian tidak ada keperluan untuk ADUN Pembangkang diberikan akses sistem tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.