Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
271) AKSES KEPADA ILTIZAM RAKYAT
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengapakah inisiatif Iltizam Rakyat yang bagus pada dasarnya tetapi tidak mesra untuk diakses dan dipohon, terutama bagi permohonan oleh golongan yang kurang mahir dengan IT dan berusia?
Sebagai makluman ahli Yang Berhormat Sungai Burong, kini terdapat empat puluh enam (46) buah program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk menerima manfaat bagi meneruskan kehidupan mereka yang semakin mencabar.
Bagi memastikan rakyat yang berkelayakan menerima manfaat berkenaan, Kerajaan Negeri telah membangunkan dan memperkenalkan satu sistem dinamakan Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) pada tahun 2019 yang bertujuan untuk memudahkan masyarakat membuat permohonan program ISP secara atas talian. Ianya juga boleh dilakukan dari mana-mana lokasi dengan menggunakan peranti elektronik yang mempunyai capaian internet dengan lebih cepat dan berkesan. Sebagai makluman, sistem ini mempunyai reka bentuk yang ringkas dan mudah difahami bagi pengguna yang pertama kali membuat pendaftaran. Para pengguna yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat boleh mendapatkan maklumat dengan tepat memandangkan ianya mudah diakses dan mesra pengguna. Walau bagaimanapun, tidak semua program ISP yang disenaraikan memerlukan permohonan secara atas talian. Terdapat juga permohonan yang boleh dilakukan secara manual dengan mengisi borang permohonan yang disediakan di Pejabat Daerah dan Tanah di Selangor seperti Dana Usahawan Mikro Selangor dan Program Blueprint Kemiskinan.
Dalam memastikan penyampaian perkhidmatan mengenai program-program ISP dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan memberikan latihan penggunaan sistem SSIPR dan pengurusan dokumen digital kepada petugas-petugas di Pusat Khidmat DUN, dan pegawai bertanggungjawab di Pejabat Daerah dan Tanah. Latihan ini bertujuan untuk memberikan kefahaman dalam menguruskan permohonan secara atas talian (online) yang diterima dari masyarakat setempat disamping dapat membantu pemohon yang kurang mahir terutama golongan warga emas menggunakan sistem berkenaan.
Selain itu juga, Kerajaan Negeri turut mengadakan program turun padang menerusi Program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) yang bertindak sebagai hebahan kepada rakyat mengenai program-program ISP yang disediakan di setiap daerah dalam Negeri Selangor. Melalui program ini, rakyat akan diberikan kefahaman, maklumat program dan seterusnya membuat permohonan serta semakan ke atas program ISP yang ditawarkan mengikut kelayakan bersama agensi yang berkaitan.