Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

48) AKADEMI KEPIMPINAN WANITA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah penambahbaikan yang dilakukan bagi Akademi Kepimpinan Wanita?

    Bagi menambahbaik pelaksanaan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW), Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah melaksanakan Kajian Impak Keberkesanan AKW serta tiga (3) siri Bengkel Penambahbaikan bagi menilai pelaksanaan program yang telah dilaksanakan selama tiga tahun secara menyeluruh. Hasil kajian dan bengkel tersebut, pelaksanaan AKW akan ditambah baik dari beberapa aspek termasuklah:

    • Pengambilan pelajar AKW mengikut kumpulan sasar wanita secara lebih spesifik iaitu: (i) Pemimpin Komuniti dan Badan Bukan Kerajaan, (ii) Pemimpin Organisasi Politik dan (iii) Pemimpin Kerajaan dan Badan Berkanun.
    • Pembangunan modul dan subjek yang bersesuaian dengan kumpulan sasar serta kaedah pengajaran yang lebih berkesan.
    • Menjalankan penilaian pelajar yang lebih holistik untuk memastikan program AKW dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.
  2. Apakah pencapaian graduan selepas tiga tahun pelaksanaan Akademi Kepimpinan Wanita?

    Sejak program AKW dilaksanakan bermula tahun 2019, AKW telah melahirkan seramai 248 orang graduan yang dilatih menjadi pemimpin wanita di setiap lapisan kepimpinan dalam masyarakat. Terdapat graduan AKW yang telah dilantik menjadi pemimpin seperti berikut:

    1. 5 orang sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
    2. 18 orang dilantik menjadi pemimpin politik
    3. 8 orang dilantik menjadi Pengurusan Tertinggi Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Lampiran

Tiada Lampiran.