Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

5) AKADEMI KEPIMPINAN WANITA

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peratus Graduan Akademi Kepimpinan Wanita yang mendapat tempat di dalam bidang pekerjaan?

    Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat semua, Program Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor merupakan sebuah program inisiatif di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor dengan usahasama Wanita Berdaya Selangor (WBS). Program ini telah dilancarkan pada 19 September 2019 bertujuan untuk memantapkan ilmu dan kemahiran para pelajar dan bertindak sebagai paip bakat (talent pipeline) dalam melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam pelbagai lapangan dan kerja sosial bermasyarakat.

    Pada 19 Februari 2022 lalu, AKW telah melahirkan seramai 180 orang graduan setelah menjalani pembelajaran mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan melalui dua (2) kohort iaitu Kohort 1 (Tahun 2019/2020) seramai 81 orang graduan dan Kohort 2 (Tahun 2020/2021) seramai 99 orang graduan. Manakala bagi Kohort 3 ( Tahun 2021/2022) pula para pelajar AKW seramai 121 orang masih sedang mengikuti modul pembelajaran bagi Kohort 3 dan dijangkakan akan bergraduasi pada bulan Mac tahun 2023.

    Berdasarkan rekod, seramai 113 orang daripada 180 orang graduan AKW daripada Kohort 1 dan Kohort 2 mewakili peratusan sebanyak 62.7%  kini sedang bekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan. Manakala bagi pelajar Kohort 3 AKW yang sedang mengikuti modul pembelajaran kini mempunyai seramai 75 orang yang sedang bekerja daripada keseluruhan 121 orang pelajar iaitu sebanyak 61.9%.

    Data ini menunjukkan bahawa lebih daripada separuh para graduan AKW kini merupakan golongan wanita yang sedang bekerja dalam pelbagai bidang  selaras dengan objektif pelaksanaan AKW untuk melahirkan para pemimpin wanita yang mempunyai ilmu dan kemahiran dan dapat menerajui dan memimpin dalam pelbagai bidang pekerjaan dan organisasi.

  2. Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk pelajar OUM lepasan AKW?

    Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, peruntukan yang telah dibelanjakan kepada pelajar-pelajar lepasan AKW bagi melanjutkan pelajaran menerusi Kohort 1 & 2 Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH) di Open University Malaysia (OUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah berjumlah RM 91,459.30 dengan ringkasan seperti berikut :

Lampiran

Tiada Lampiran.